mutakhir

Patuh SOP jika enggan dikompaun

Oleh Baharom Bakar

PENGUSAHA restoran dan kedai makan yang ingkar dan gagal mematuhi prosedur operasi standard (SOP) akan berdepan dengan tindakan kompaun berkuat kuasa, esok.

Ia termasuk kegagalan melakukan penjarakan sosial selain gagal menanda garisan jarak pada meja makan.

Setiausaha Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT), Fadli Yusoff berkata, kerajaan menetapkan syarat pemantuhan SOP kepada kedai makan dan restoran sebelum membenarkan operasi termasuk makan di dalam premis, Ahad lalu.

Katanya, mereka sudah diberi tempoh dua hari untuk melaksanakan pelbagai syarat ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan kerajaan negeri.

"Berkuat kuasa esok, pengusaha restoran dan kedai makan yang gagal mematuhi SOP termasuk membenarkan pelanggan duduk satu meja dengan jumlah yang ramai akan dikenakan tindakan.

"Mereka yang ingkar serta gagal mematuhi SOP ditetapkan akan dikenakan tindakan mengikut Akta 342 serta Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988," katanya.

Fadli berkata demikian ketika ditemui selepas melakukan tinjauan pematuhan oleh restoran dan kedai makan di Pasar Kedai Payang, Kuala Terengganu, hari ini.

Hadir sama, Pengarah Jabatan Kesihatan Persekitaran MBKT, Che Wan Mohd Zulkifli Che Wan Jalil.

Katanya, berdasarkan pemerhatian mendapati kebanyakan pengusaha terbabit mematuhi peraturan ditetapkan termasuk beroperasi antara 7 pagi hingga 10 malam.

"Orang ramai diingatkan agar sentiasa mematuhi SOP terutama tidak membawa kanak-kanak serta warga emas sama ada untuk makan dan minum dalam restoran serta kedai makan," katanya.

Disiarkan pada: June 2, 2020 @ 5:10pm
d