mutakhir

Kami berlima masih ahli Bersatu

Oleh Yusmizal Dolah Aling

TUN Dr Mahathir Mohamad bersama empat lagi ahli parlimen yang dipecat daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) mengakui mereka masih lagi ahli parti berkenaan.

Menerusi satu kenyataan bersama hari ini, Dr Mahathir, Datuk Seri Mukhriz Mahathir, Syed Saddiq Syed Rahman Datuk Amiruddin Hamzah dan Dr Maszlee Malik menyatakan bahawa tidak pernah mengisytiharkan keluar daripada Bersatu atau menyertai mana-mana parti politik lain di negara ini.

Katanya, surat yang dikeluarkan Setiausaha Kerja parti, Kapten (B) Muhammad Suhaimi Yahya baru-baru ini adalah salah daripada segi perlembagaan parti, undang-undang dan berniat jahat.

Menurutnya, pilihan yang dibuat untuk tidak menyokong Tan Sri Muhyiddin Yassin atau Perikatan Nasional (PN) tidak bermakna mereka keluar dari parti.

"Pengeluaran dari parti tidak boleh dibuat Setiausaha Kerja melainkan jika dirujuk kepada Jawatankuasa Disiplin dan pihak yang dituduh diberi peluang mempertahankan diri.

"Kami secara jelas dan tuntas memilih untuk berada di blok yang tidak menyokong kerajaan Tan Sri Muhyiddin kerana ia adalah kerajaan yang memungkiri mandat rakyat yang diberikan kepada Pakatan Harapan (PH) melalui Pilihan Raya Umum Ke-14," katanya.

Mereka berkata, Muhyiddin bersama enam lagi ahli parlimen yang menyatakan keluar daripada PH melanggar etika parti dan wajar dihadapkan ke Lembaga Disiplin kerana Bersatu tidak membuat keputusan sedemikian.

Menurutnya, mereka juga tidak dikenakan apa-apa tuduhan kerana melakukan perkara yang bercanggah dengan agenda parti.

"Kami menyeru dan menggesa ahli untuk berpegang kepada cogan kata 'Bersatu, Beramanah, Bermaruah. Inilah sifat yang perlu ada pada kita semua.

"Peganglah kuatlah janji kita kepada rakyat dan janganlah salah guna kuasa yang mereka beri kepada kita," katanya.

Mereka turut menyatakan bahawa kerajaan hari ini bukanlah pilihan rakyat dan PH adalah kerajaan yang sah dan mandat rakyat perlu dikembalikan.

"Bersatu milik kami, dan ahli-ahli parti yang setia dengan perjuangan asal parti," katanya.

Disiarkan pada: June 2, 2020 @ 5:25pm
d