mutakhir

Orang hantar makanan, kau hantar dadah

Oleh Amir Mamat

JASIN: Ada penghantar makanan bermotosikal persendirian di negeri ini menjadi pembekal dadah kepada penagih sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) sejak Mac lalu.

Kegiatan itu dikesan pihak berkuasa berikutan kekangan pergerakan dalam kalangan penagih dadah yang menyebabkan mereka menghubungi penghantar makanan persendirian untuk mengambil dan menghantar bahan terlarang terbabit.

EXCO Kesihatan dan Antidadah negeri Rahmad Mariman berkata, pihaknya tidak menolak kemungkinan kegiatan itu berlaku sepanjang tempoh penguatkuasaan PKP dan PKPB.

"Kami dapati hanya penghantar makanan bermotosikal berdaftar yang merekodkan perjalanan mereka berbanding penghantar makanan persendirian," katanya.

Menurut beliau, khidmat penghantar makanan persendirian yang tumbuh bagai cendawan itu menjadi tumpuan golongan penagih dadah untuk digunakan bagi menghantar bekalan kepada mereka kerana mudah melepasi sekatan jalan raya (SJR).

"Ada kemungkinan golongan penghantar makanan persendirian ini digunakan (menghantar dadah), mereka buat kegiatan ini secara senyap-senyap. Kalau 'rider' memang semuanya berdaftar, mungkin tak berani nak buat. Tetapi yang tidak berdaftar itu yang (dikesan) buat pengedaran.

"Saya yakin mungkin ada (kegiatan itu) tapi jumlahnya sangat kecil," katanya selepas meninjau prosedur operasi standard (SOP) normal baharu yang dijalankan Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) negeri di pejabat AADK Daerah Jasin.

Sementara itu, 122 tangkapan berkaitan dadah dilakukan AADK negeri bagi tempoh 27 April hingga semalam.

Daripada jumlah itu, 103 didapati positif.

"Melaka Tengah mencatatkan jumlah tangkapan tertinggi iaitu 65 tangkapan diikuti 42 di Alor Gajah dan 15 di Jasin," katanya.

Disiarkan pada: June 2, 2020 @ 6:00pm
d