mutakhir

'Exit strategy' jika semua sektor dibuka dan kes masih rendah [METROTV]

Oleh Saipul Adli Mohamad

MALAYSIA hanya boleh bersedia untuk melaksanakan 'exit strategy' atau pelan pasca krisis Covid-19 jika semua sektor dibuka dan pada masa sama jumlah kes positif kekal dua digit terendah atau satu digit.

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menjangkakan tiada kes mendadak selepas musim perayaan Aidilfitri.

Beliau berkata, jika kes kekal dua digit terendah atau satu digit maka lebih banyak sektor dalam negara perlu dibuka.

"Apabila semua sektor sudah dibuka dan pemantauan kita berjalan dengan baik, kita masih kekal kes satu digit atau dua digit maka kita sudah bersedia 'exit strategy'.

"Inilah yang kita katakan 'soft landing' iaitu supaya rakyat Malaysia patuh prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan.

"Berdasarkan permodelan, rakyat Malaysia patuh SOP. Kebimbangan kita ialah pekerja warga asing," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media harian perkembangan Covid-19 di Putrajaya hari ini.

Dr Noor Hisham berkata, hari ini KKM berbincang di mesyuarat Majlis Keselamatan Negara (MKN) supaya satu jawatankuasa sedia ada akan melihat kepada kepatuhan pekerja warga asing mengenai SOP KKM.

"Apa pun pelaksanaan itu yang penting. Jika rakyat Malaysia dan pekerja asing patuh SOP, kita boleh putuskan penularan Covid-19," katanya.

Sementara itu, katanya, walaupun jika sudah melaksanakan 'exit strategy' kelak namun penguatkuasaan Akta Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) tetap diperlukan untuk pemantauan dan pelaksanaan kawalan.

Ketika ini beliau berkata, kawalan bergantung kepada Akta 342 termasuk kawalan sempadan, penjarakkan sosial dan sebagainya.

"Kuasa juga sudah diturunkan kepada agensi seperti Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Polis Diraja Malaysia dan RELA untuk Akta 342.

"Dari segi pemantauan dan pelaksanaan untuk kawalan kita perlu lanjutkan lagi Akta 342," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: June 2, 2020 @ 6:49pm
    d