mutakhir

2 bandar paling bahagia ada di Melaka

Oleh Amir Mamat

KERAJAAN negeri menyambut baik pengiktirafan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) melalui PLANMalaysia kepada Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) dan Majlis Perbandaran Jasin (MPJ) sebagai antara 10 Bandar Paling Bahagia 2019.

Ketua Menteri Datuk Sulaiman Md Ali berkata, pengiktirafan berkenaan menjadi pemangkin kepada kesempurnaan penduduk, khususnya dalam kawasan pentadbiran MBMB dan MPJ supaya kekal tinggal dalam suasana harmoni bersama ahli keluarga terutama ketika penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) ketika ini.

Selain itu, katanya, ia juga sebagai mengiktiraf semua warga kerja kedua-dua Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) berkenaan yang bertungkus-lumus memastikan kehidupan masyarakat sentiasa diberikan perhatian dan keutamaan.

"Saya mengucapkan terima kasih kepada KPKT dan PLANMalaysia yang memilih MBMB sebagai bandar paling bahagia apabila menduduki tempat pertama dalam senarai Bandar Paling Bahagia, manakala MPJ pula mendapat tempat kelapan.

"Pencapaian itu sudah semestinya bermula daripada kita, teruskanlah berusaha, terutama menjadikan semua kakitangan MBMB dan MPJ yang sejahtera dalam melaksanakan tugas harian dan akhirnya bandar yang kita jaga bersama ini juga akan kekal menjadi bandar sejahtera," katanya dihubungi.

Semalam, PLANMalaysia menyenaraikan 10 Bandar Paling Bahagia 2019 yang dipilih melalui Kajian Indeks Kebahagiaan membabitkan dua bandar yang terletak dalam kawasan pentadbiran PBT bertaraf bandar raya, enam bandar di kawasan PBT bertaraf perbandaran dan dua bandar lagi di kawasan PBT bertaraf majlis daerah.

Bandar raya terbabit adalah MBMB, Majlis Bandaraya Kuala Terengganu, Majlis Bandaraya Seremban, Majlis Perbandaran Kulai, Majlis Perbandaran Taiping, Majlis Perbandaran Kuantan, Majlis Perbandaran Bentong, MPJ, Majlis Daerah Yan dan Majlis Daerah Jeli.

Sementara itu, Liyana Othman, 34, dari Taman Mesra Rim, Jasin menyifatkan pengiktirafan itu sebagai penghargaan kepada semua penduduk di bandar berkenaan.

Katanya, ia juga membuktikan MPJ sentiasa peka dengan setiap permasalahan yang dikemukakan rakyat kepada mereka, sekali gus menjadikan masyarakat di bawah pentadbiran MPJ mampu hidup dalam keadaan sejahtera dan harmoni.

"Saya mengucapkan tahniah kepada pihak pengurusan dan pentadbiran MPJ yang bertungkus-lumus memastikan kesejahteraan penduduk sentiasa terjaga," katanya.

Ahli Perniagaan, Nasrul Ahmad, 42, turut melahirkan rasa bangga dengan pencapaian MBMB susulan pengiktirafan yang diterima daripada Kerajaan Persekutuan.

Katanya, sebagai warga MBMB, beliau sudah pasti akan menyokong setiap langkah yang diambil bagi memastikan kehidupan rakyat di bawah pentadbiran PBT berkenaan sentiasa harmoni dan sejahtera.

"Sudah pasti saya berbangga dengan pencapaian ini dan tahniah kepada Ketua Menteri Melaka Datuk Sulaiman Md Ali dan Datuk Bandar Datuk Zainal Abu yang sangat menjaga kualiti kehidupan penduduk dalam kawasan bandar raya ini," katanya.

Disiarkan pada: June 2, 2020 @ 7:17pm
d