mutakhir

Remaja lelaki dibelasah bapa saudara

Oleh Zatul Iffah Zolkiply

NIAT remaja lelaki menyelamatkan ibunya daripada ditumbuk bapa saudaranya bertukar tragedi apabila dibelasah lelaki terbabit di Kampung Undang, Kuala Terengganu, kelmarin.

Akibat kejadian kira-kira 1.10 tengah hari, mangsa berusia 17 tahun mengalami luka dan calar pada tubuhnya.

Menurut sumber, kejadian dipercayai berlaku ketika mangsa bersama ibunya berusia 50-an berada di rumah sebelum dikejutkan dengan kehadiran suspek.

Katanya, suspek dikatakan mengamuk lalu menghampiri ibu mangsa sambil memaklumkan tidak berpuas hati dengan wanita terbabit sebelum cuba menumbuknya.

"Mangsa yang berada berhampiran ibunya bertindak menepis tangan suspek menyebabkan lelaki terbabit naik angin lalu menyerang remaja lelaki terbabit.

"Dalam pergelutan itu, suspek dikatakan mencekik remaja itu dan pergelutan dileraikan ibu mangsa dengan bantuan isteri suspek yang turut berada di lokasi kejadian.

"Mangsa yang bimbang keselamatan diri dan ahli keluarga yang lain membuat laporan polis untuk tindakan lanjut," katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Abdul Rahim Md Din ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan kejadian.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan dan Seksyen 18 A Akta Keganasan Rumah Tangga 2012.

Disiarkan pada: June 2, 2020 @ 7:45pm
d