mutakhir

Perkenal hukuman mati terhadap pemandu mabuk sebabkan kematian

Oleh Yusmizal Dolah Aling

PERGERAKAN Pemuda Umno Malaysia menggesa kerajaan meminda Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333) dengan memperkenalkan hukuman mati terhadap pesalah pemanduan mabuk sehingga menyebabkan kematian orang awam.

Ketuanya Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, pihaknya kesal dan dukacita dengan perkembangan mutakhir mengenai kemalangan diakibatkan pemandu mabuk yang makin menjadi-jadi sehingga menyebabkan kematian dan kecederaan orang awam sejak kebelakangan ini.

Katanya, itu menunjukkan hukuman di bawah Akta 333 ketika ini tidak sedikit pun menggerunkan pemandu mabuk bahkan boleh dianggap ringan dan tidak setimpal dengan kehilangan nyawa dan tempat bergantung yang dialami keluarga mangsa.

"Ketika ini, Seksyen 44(1) A Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333) memperuntukkan hukuman penjara selama tempoh tidak kurang daripada 3 tahun dan tidak lebih daripada 10 tahun dan didenda tidak kurang daripada RM8,000 dan tidak lebih dari RM20,000 bagi kesalahan pemanduan mabuk.

"Justeru, Pemuda Umno menyarankan kerajaan meminda akta ini dengan memperkenalkan hukuman mati yang boleh menjadi pengajaran dan sebagai asas pencegahan terhadap kes pemanduan mabuk yang menyebabkan kematian orang yang tidak berdosa," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dalam kejadian terbaru kelmarin seorang lelaki maut selepas motosikal yang ditunggang mangsa terbabas selepas motosikal ditunggang dilanggar sebuah Nissan Grand Livina.

Akibatnya mangsa terbabas ke bahu kiri jalan manakala motosikalnya diseret sejauh 2.2 kilometer.

Video kejadian berkenaan tular di media sosial dan mengundang reaksi marah netizen yang mahu hukuman berat dikenakan individu terbabit.

Disiarkan pada: June 2, 2020 @ 8:34pm
d