mutakhir

Tiga bulan baru sedar RM682,000 lesap

Oleh Nur Izzati Mohamad

SEORANG bekas kakitangan Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) mengalami kerugian RM682,000 apabila terpedaya dengan sindiket Macau Scam.

Kejadian bermula pada awal Mac lalu apabila mangsa wanita berusia 69 tahun itu menerima panggilan telefon daripada seorang lelaki mendakwa pegawai polis berpangkat Asisten Komisioner dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pahang.

Wanita itu mendakwa, pegawai polis terbabit memaklumkan terdapat pendaftaran judi dalam talian menggunakan namanya.

Tidak lama kemudian, panggilannya disambung pula kepada seorang lagi anggota polis berpangkat sarjan yang sedang menyiasat kes mangsa.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor, berkata anggota polis itu meminta mangsa berurusan dengan seorang pegawai Bank Negara Malaysia yang akan menghubunginya untuk siasatan selanjutnya.

"Selepas bercakap dengan anggota polis itu, mangsa mendapat panggilan dari pegawai bank yang meminta mangsa memindahkan semua wang milik mangsa ke dalam satu akaun untuk memudahkan siasatan.

"Mangsa diminta segera melakukan urusan pemindahan wang itu jika tidak mangsa akan ditangkap dan direman," katanya dalam kenyataan di Kepala Batas, malam ini.

Beliau berkata, mangsa selepas itu diminta sentiasa mengangkat panggilan daripada pegawai bank berkenaan setiap hari dan memberikan nombor TAC yang dihantar ke telefon bimbitnya sehingga perkara itu berlarutan sehingga 27 Mei lalu.

"Selepas itu, mangsa berasa pelik kerana di antara 28 Mei hingga semalam dia tidak lagi menerima panggilan daripada pegawai bank berkenaan seperti kebiasaan.

"Mangsa seterusnya menghubungi pihak bank untuk bertanyakan baki wang dalam akaunnya dan dimaklumkan bahawa terdapat pengeluaran lalu sedar dirinya sudah terperangkap dengan sindiket penipuan hampir tiga bulan," katanya.

Noorzainy berkata, mangsa membuat laporan polis hari ini untuk siasatan selanjutnya dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Disiarkan pada: June 2, 2020 @ 11:05pm
d