mutakhir

240 Pati Indonesia diusir

Oleh Abdul Rahemang Taiming

SERAMAI 240 pendatang asing tanpa izin (Pati) warga Indonesia yang ditahan di Pusat Tahanan Sementara di Tawau, dihantar pulang ke negara asal hari ini.

Daripada jumlah itu, seramai 121 Pati terdiri daripada 80 lelaki, 31 wanita, enam kanak-kanak lelaki dan empat kanak-kanak perempuan menaiki feri yang berlepas pada 9.20 pagi, manakala baki 119 lagi menaiki feri seterusnya pada 12 tengah hari.

Program khas penghantaran pulang Pati itu diselaraskan Majlis Keselamatan Negara (MKN) Sabah dengan kerjasama Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Sabah dan agensi kerajaan lain.

Pengarah Majlis Keselamatan Negara (MKN) Sabah, Sharifah Siti Saleha Haibib Yussof berkata, semua mereka diusir melalui jalan laut menggunakan perkhidmatan feri penumpang dari Pelabuhan Kastam, Imigresen, Kuarantin dan Keselamatan (CIQS) Tawau ke Pelabuhan Nunukan, di Indonesia.

Menurutnya, ia selaras dengan kelulusan kerajaan negeri pada mesyuarat Pusat Kawalan Operasi Bencana 30 Mei lalu dan sejajar dengan arahan kerajaan Persekutuan yang diumumkan oleh Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob baru-baru ini.

"Ini adalah pengusiran siri ke-15 dan ke-16 melalui jalan laut tahun ini membabitkan Pati Indonesia dan Filipina.

"Ia menjadikan jumlah keseluruhan pengusiran tahun ini adalah 3,753 Pati termasuk warga India, China, Pakistan dan Vietnam yang diusir melalui udara serta diselaraskan JIM Sabah.

"Seramai 694,920 Pati sudah diusir sejak 1990 sehingga hari ini," katanya dalam kenyataan media hari ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata, tindakan pengusiran dibuat selari dengan situasi semasa dan keputusan kerajaan.

Beliau berkata, semua tahanan menjalani ujian saringan Covid-19 sebelum diusir selain penjagaan kebersihan diamalkan sepanjang proses pengusiran berlangsung selari dengan protokol kesihatan yang ditetapkan oleh kedua-dua negara.

"MKN merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada semua agensi yang terbabit memberikan komitmen tinggi dalam membantu menjayakan proses pengusiran kali ini," katanya.

Disiarkan pada: June 3, 2020 @ 10:17am
d