mutakhir

'Kalau ada lagi perebutan kuasa, saya bubar DUN' - Sultan Johor

Oleh Mohamed Farid Noh

SULTAN Johor, Sultan Ibrahim Iskandar memberi amaran untuk membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) serta-merta jika perebutan kuasa dalam kalangan wakil rakyat negeri ini terus berlaku.

Dalam muat naik di akaun Facebook rasmi baginda, Sultan Ibrahim bertitah, baginda amat kecewa dengan kemelut politik yang masih berlaku di Johor.

"Apabila ada pemimpin yang gila kuasa dan terus merebut jawatan demi kepentingan diri mereka dalam keadaan rakyat yang sedang susah sekarang, mereka (wakil rakyat) langsung tidak peduli dan sanggup menambah lagi derita rakyat.

"Saya tidak boleh tengok rakyat saya menderita, dan tidak akan biarkan negeri saya dikucar-kacirkan.

"Saya bersumpah untuk menjaga dan membela nasib rakyat dan negeri saya pada setiap masa.

"Jika berlaku lagi perebutan kuasa dalam kalangan wakil rakyat, saya akan bubarkan Dewan Negeri Johor serta merta," titah baginda.

Sultan Ibrahim bertitah, baginda akan memberi peluang kepada rakyat Johor untuk memilih wakil mereka yang baharu.

"Saya harap kali ini pilihlah pemimpin yang betul-betul ingin berkhidmat untuk rakyat dan negeri, bukan untuk parti atau diri sendiri," titah baginda.

Disiarkan pada: June 3, 2020 @ 12:29pm
d