mutakhir

Beruang musnah sarang madu kelulut

Oleh Ramli Ibrahim

DUA pengusaha madu kelulut di Rancangan Kemajuan Tanah (RKT) KESEDAR Sungai Asap B dekat sini, kerugian besar apabila sarang madu kelulut mereka dimusnahkan beruang.

Pengusaha, Fakrullah Zakaria, 41, berkata, dia mengusahakan 30 sarang kelulut sejak lima tahun lalu berhampiran rumahnya.

"Pada jam 4 pagi tadi, saya terdengar bunyi pelik di belakang rumah sebelum keluar rumah untuk melakukan pemeriksaan.

"Saya terkejut mendapati seekor beruang yang saiznya kira-kira separas pinggang sedang memusnahkan sarang kelulut.

"Saya terus masuk semula ke rumah kerana bimbangkan keselamatan diri," katanya ditemui di kediamannya.

Menurutnya, dia tetap bersyukur kerana hanya sembilan sarang kelulut dimusnahkan beruang terbabit.

"Saya mengambil madu kelulut setiap dua minggu dengan pendapatan kira-kira RM1,500. Saya harap ancaman beruang ini segera berakhir," katanya.

Seorang lagi pengusaha, Ismail Yusof, 62, berkata, dia hanya menyedari tiga sarang kelulutnya dimusnahkan beruang jam 9.30 pagi Isnin lalu.

"Beruang terbabit berkeliaran di belakang rumah saya tiga malam berturut-turut.

"Ia mungkin masih ada di sekitar kawasan ini, kami bimbangkan keselamatan anak-anak," katanya.

Disiarkan pada: June 3, 2020 @ 3:40pm
d