mutakhir

Kebenaran tunai haji umum minggu hadapan

Oleh Raja Noraina Raja Rahim

STATUS mengenai kebenaran menunaikan haji bagi jemaah negara akan diumumkan minggu hadapan, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Senator Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri.

Dalam kenyataan hari ini, beliau berkata, satu mesyuarat bersama Lembaga Tabung Haji (TH) sebagai penyelaras jemaah haji Malaysia mengenai perkara itu sudah diadakan baru-baru ini.

"Hasil mesyuarat akan dibentangkan dalam Kabinet kemudian dipersembahkan kepada Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

"Keputusan perbincangan akan diumumkan minggu hadapan," katanya.

Sementara itu, jemaah haji negara masih menaruh harapan untuk menunaikan ibadat itu tahun ini.

Che Pah Zainon, 69, dari Kulim, Kedah berkata, tetap berlapang dada dan menerima sebarang keputusan dibuat kerajaan susulan pandemik Covid-19 yang masih belum berakhir.

Kisah Che Pah pernah tular di media sosial sebelum ini apabila penyewa yang menetap di rumah lamanya, gigih menjejakinya untuk menyerahkan surat panggilan menunaikan haji.

"Segala persiapan untuk ke Tanah Suci sudah dibuat termasuk pasport, sebaik menerima surat panggilan itu. Sekarang ini mak cik hanya tunggu jawapan rasmi daripada TH mengenai ibadat haji, sama ada diteruskan atau tidak.

"Apa pun keputusannya, mak cik terima dengan hati terbuka walaupun menyimpan impian menunaikan haji sejak sekian lama," katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Dia juga sentiasa berdoa dipanjangkan usia agar berkesempatan menunaikan Rukun Islam Kelima, selepas pertama kali menjejakkan kaki ke Makkah ketika mengerjakan umrah pada 2014.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: June 3, 2020 @ 4:42pm
    d