mutakhir

Majikan pekerja warga asing perlu bantu tangani Covid-19 [METROTV]

Oleh Saipul Adli Mohamad

KEMENTERIAN Kesihatan Malaysia (KKM) menyeru majikan yang menggajikan pekerja warga asing untuk memainkan peranan lebih besar dalam sama-sama menangani penularan Covid-19.

Ketua Pengarahnya Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, ia memandangkan isu penularan virus itu di kalangan pekerja bukan warganegara amat penting untuk ditangani.

Katanya, pihak majikan perlu memberi pendidikan kepada pekerja mengenai amalan kebersihan kendiri, persekitaran di tempat kerja dan tempat tinggal serta langkah pencegahan.

"Menyediakan penginapan kondusif untuk memastikan penjarakan sosial yang selamat dapat diamalkan.

"Memantau dan memastikan amalan pencegahan jangkitan dipraktikkan oleh pekerja (asing) di tempat kerja dan tempat penginapan mereka.

"(Majikan perlu) menyaring pekerja bukan warganegara untuk Covid-19 terutama dalam sektor pembinaan dan keselamatan di semua zon merah seperti yang diarahkan kerajaan," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media harian perkembangan terkini Covid-19 di Putrajaya, hari ini.

Selain itu, Dr Noor Hisham berkata, pekerja warga asing dari zon kuning dan zon hijau pula digalakkan disaring dengan inisiatif majikan masing-masing.

"Tenaga kerja adalah aset berharga bagi sesebuah syarikat mahupun organisasi. Ini termasuk pekerja kalangan warganegara dan juga bukan warganegara.

"Majikan yang baik adalah majikan yang sentiasa memastikan kebajikan dan kemaslahatan pekerja mereka terjamin," katanya.

Seperti sering ditekankan, katanya, terdapat beberapa faktor menyumbang kepada penularan penyakit berjangkit di kalangan pekerja misalnya tempat penginapan, kebersihan kendiri dan juga persekitaran di tempat tinggal serta tempat kerja.

Disiarkan pada: June 3, 2020 @ 6:12pm
d