mutakhir

29 nyawa melayang dirempuh pemandu mabuk

Oleh Nurul Hidayah Bahaudin

SERAMAI 29 individu menjadi 'korban' dalam kemalangan jalan raya berpunca akibat pemandu mabuk bagi tempoh 2018 hingga Mei lalu.

Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman Datuk Azisman Alias berkata, pihaknya merekodkan 70 kemalangan di seluruh negara membabitkan pemandu mabuk sepanjang tempoh berkenaan.

"Daripada 70 kemalangan direkodkan, 29 individu disahkan meninggal dunia, manakala 41 individu lagi dilaporkan cedera sepanjang tempoh itu.

"Berdasarkan kemalangan itu juga, kami melakukan 70 tangkapan dengan 20 kes masih dalam siasatan dan selebihnya pula sudah dituduh di mahkamah mengikut Seksyen 44 Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya ketika dihubungi.

Azisman berkata, seramai 822 individu di seluruh negara ditahan selepas didapati memandu dalam keadaan mabuk dengan 1,213 pemandu disaring menerusi 278 operasi di seluruh negara bagi tempoh 1 Januari hingga 31 Mei lalu.

"Pada 2018, sebanyak 1,037 Operasi Mabuk (Op Mabuk) dilakukan di seluruh negara dengan 2,226 individu disaring yang membawa kepada penahanan 1,589 pemandu didapati mabuk.

"Bagi tahun lalu pula, sebanyak 933 Op Mabuk dilakukan dengan 2,454 individu disaring. Daripada jumlah itu, seramai 1,581 individu ditahan selepas didapati memandu di bawah pengaruh alkohol," katanya.

Beliau berkata, tindakan keras serta kompaun juga akan dikenakan terhadap individu yang didapati memandu di bawah pengaruh alkohol.

"Op mabuk akan diteruskan di seluruh negara termasuk pemeriksaan di kawasan serta laluan berhampiran premis yang menyediakan minuman keras.

"Langkah ini diambil bagi membolehkan orang ramai mematuhi peraturan ditetapkan iaitu tidak memandu dalam keadaan mabuk bagi mengelak berlakunya kemalangan hingga meragut nyawa pengguna jalan raya lain," katanya.

Disiarkan pada: June 3, 2020 @ 6:16pm
d