mutakhir

Boleh makan di kedai makan, restoran mulai lusa

Oleh Amir Mamat

KERAJAAN Melaka hari ini membenarkan restoran dan kedai makan beroperasi seperti biasa dengan pelanggan boleh menikmati juadah di dalam premis, berkuat kuasa Jumaat ini.

Ketua Menteri, Datuk Sulaiman Md Ali berkata, kebenaran itu turut membabitkan restoran mamak, medan selera, pusat penjaja, kedai makan tepi jalan berbumbung, kios serta kafe di hotel.

Bagaimanapun, katanya, kebenaran itu hanya untuk menu panas iaitu masak dan makan, manakala juadah berbentuk bufet tidak dibenarkan.

"Bagi perniagaan atau penjaja tanpa premis seperti kenderaan saji (food truck), penjaja beredar dan penjaja tepi jalan (sementara), perlu kekal dengan kaedah operasi secara bawa pulang atau penghantaran sahaja seperti ditetapkan dalam Prosedur Operasi Standard (SOP) Majlis Keselamatan Negara (MKN).

"Bagaimanapun, semua kebenaran diberikan itu masih tertakluk kepada pematuhan SOP ditetapkan pihak berkuasa berkaitan termasuk Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan MKN," katanya dalam kenyataan di Ayer Keroh, hari ini.

Sulaiman berkata, keputusan yang akan berkuatkuasa Jumaat ini bersempena Istiadat Angkat Sumpah Jawatan Yang di-Pertua Negeri Melaka Ke-7 itu dibuat menerusi Mesyuarat Jawatankuasa Khas COVID-19 negeri hari ini yang dipengerusikan EXCO Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Alam Sekitar negeri, Datuk Seri Abd Ghafaar Atan.

Beliau berkata, keputusan lain ditetapkan adalah tempoh pengoperasian premis ditetapkan sehingga 10 malam termasuk bagi premis dibenarkan beroperasi 24 jam sebelum pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada 18 Mac lalu.

Menurutnya, susun atur dalam premis mestilah mematuhi SOP ditetapkan iaitu jarak dua meter antara meja bagi membolehkan penjarakan sosial sekurang-kurangnya satu meter, manakala setiap meja dimuatkan tidak melebihi empat orang dan premis perlu menyatakan dengan jelas bilangan pelanggan yang dibenarkan pada satu-satu masa untuk memenuhi keperluan penjarakan sosial.

Disiarkan pada: June 3, 2020 @ 8:34pm
d