mutakhir

'Isu pemandu mabuk tak boleh dikaitkan dengan hak bukan Islam minum arak'

Oleh Amir Abd Hamid

ISU pemandu dipengaruhi alkohol atau dadah tidak boleh dikaitkan dengan hak orang bukan Islam untuk meminum minuman keras.

Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong menegaskan, sebaliknya isu itu lebih menjurus kepada soal keselamatan jalan raya.

Beliau berkata, cadangan pindaan akta yang akan dimuktamadkan bertujuan mengenakan hukuman lebih berat kepada mereka yang memandu secara merbahaya.

"Ia sehingga memudaratkan diri sendiri serta pengguna jalan raya lain dan tidak ada kaitan dengan mana-mana kaum.

"Tidak ada kaitan langsung dengan orang Islam atau bukan Islam.

"Isu pemandu memandu dalam keadaan mabuk adalah topik hangat dibincangkan sejak kebelakangan ini dan saya terus meneliti dan memantau secara serius mengenai perkara ini," katanya.

Beliau berkata demikian dalam hantaran di Facebook (FB) hari ini.

Menurutnya, beliau terbuka dan mengalu-alukan sebarang pandangan semua pihak.

Antara pandangan dikemukakan selain kononnya menafikan hak orang bukan Islam meminum minuman keras, katanya, ada mengaitkan tindakan terhadap Geng Basikal Lajak dan Mat Rempit.

"Kenapa hanya meminda undang-undang yang berkaitan dengan minuman keras?

"Mengapa tiada tindakan terhadap Geng Basikal Lajak atau Mat Rempit?

"Untuk makluman, pindaan dicadangkan bagi Seksyen 41 hingga Seksyen 45 Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333) adalah berkaitan dengan pemanduan di bawah pengaruh dadah atau alkohol atau pemanduan secara berbahaya," katanya.

Justeru, beliau berkata, sama ada pengguna jalan raya itu di bawah pengaruh dadah atau alkohol atau sesiapa saja termasuk 'Geng Basikal Lajak' atau 'Mat Rempit' sekali pun, ia tetap terangkum di dalam cadangan pindaan akta berkenaan.

Tegasnya, sesuatu tragedi atau kemalangan jalan raya yang berlaku itu tidak mengenal kaum.

"Maka itu, dengan mengenakan hukuman lebih berat kepada pesalah jalan raya adalah langkah terbaik dalam usaha kita mencegah kehilangan nyawa akibat kemalangan jalan raya yang tidak sepatutnya berlaku.

"Saya berharap kita semua tanpa mengira kaum, agama atau ideologi politik supaya bersama-sama menyokong pindaan Akta 333 ini," katanya.

Disiarkan pada: June 3, 2020 @ 11:33pm
d