mutakhir

30 rumah hangus terbakar

Oleh Abdul Rahemang Taiming

Lebih 30 rumah musnah dalam kebakaran di Kampung Sri Aman dekat Semporna, kira-kira 1.30 awal pagi tadi.

Kebakaran dipercayai bermula dari sebuah rumah di situ sebelum merebak ke kediaman lain sekitar penempatan atas air berkenaan.

Ketua Balai Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Semporna, Fazizul Hizam Borhan berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 1.33 pagi

Beliau berkata, susulan itu, sepasukan 24 anggota bersama tiga jentera dikejarkan ke lokasi kejadian.

"Sebaik tiba di lokasi, didapati api sedang marak memusnah sebahagian rumah papan atas air membabitkan keluasan 1.5 ekar (0.6 hektar) terbakar sepenuhnya.

"Bagaimanapun anggota bomba berjaya mengawal kebakaran dari merebak dan menyelamatkan 190 buah rumah berdekatan sebelum api berjaya dikawal kira-kira dua jam kemudian," katanya ketika dihubungi.

Fazizul berkata, pihaknya turut mendapat bantuan tiga lori tangki air masing-masing dari Balai Bomba Kunak dan Tawau serta Jabatan Air Semporna.

Katanya, laporan awal mendapati tiada sebarang kemalangan jiwa di laporkan dan operasi ditamatkan pada jam 5.10 pagi.

"Punca kejadian dan jumlah kerugian masih disiasat Unit Forensik Kebakaran," katanya.

Disiarkan pada: June 4, 2020 @ 8:02am
d