mutakhir

Tindakan segera terhadap pemandu mabuk

Oleh Zuliaty Zulkiffli

POLIS akan melakukan pelbagai kaedah untuk mengesan pemandu mabuk di Kedah melalui operasi bagi mengelak lebih banyak nyawa melayang.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Kedah, Superintendan Chuah Seong Lim berkata, sepanjang Mei hingga malam tadi, 29 operasi Op Mabuk dilakukan di negeri ini.

Beliau berkata, daripada jumlah itu seramai 24 individu ditahan termasuk seorang daripadanya yang terbabit dalam kemalangan di Plaza Tol Hutan Kampung baru-baru ini disebabkan mabuk.

"Daerah yang tertinggi membabitkan tangkapan pemandu mabuk adalah di Kota Setar, Kuala Muda dan Langkawi.

"Mereka yang ditahan berusia antara 30-an hingga 60-an malah ada yang sudah dituduh di mahkamah," katanya katanya ketika ditemui di Ops Mabuk di Lebuhraya Darulaman, malam tadi.

Operasi dilakukan oleh anggota daripada Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Setar dan Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah.

Chuah berkata, tumpuan akan diberi di setiap daerah di negeri ini untuk memastikan pemandu yang memandu dalam keadaan mabuk diambil tindakan segera.

Dalam operasi yang bermula jam 9 malam hingga 12.40 tengah malam tadi, 155 kenderaan diperiksa membabitkan motosikal (56), kereta (79), pacuan empat roda (9), kenderaan pelbagai guna (5) dan van (6).

Beliau berkata, daripada jumlah itu, 61 saman dikeluarkan membabitkan motosikal (30), kereta (26), van (3) dan pacuan empat roda (2) kerana melakukan pelbagai kesalahan termasuk tiada lesen, cukai tamat tempoh, menggunakan telefon bimbit dan sebagainya.

"Sasaran kita malam ini (malam tadi) adalah pemandu mabuk namun hasil pemeriksaan kita mendapati tiada individu yang didapati mabuk ketika memandu.

"Namun operasi akan dilakukan secara berterusan di setiap daerah dalam memastikan pemandu mabuk ini diambil tindakan sewajarnya kerana mereka boleh mengancam nyawa orang lain jika memandu di bawah pengaruh alkohol berlebihan dalam badan," katanya.

Dalam operasi itu, pelajar lelaki berusia 17 tahun cuba melarikan diri sebaik ternampak sekatan polis tetapi berjaya ditahan.

Hasil pemeriksaan mendapati, remaja itu tidak mempunyai lesen menunggang motosikal dan menggunakan motosikal milik ibunya untuk meronda di sekitar daerah ini.

Berikutan itu remaja terbabit disaman sebelum dibenarkan pulang.

Disiarkan pada: June 4, 2020 @ 11:09am
d