mutakhir

Kanak-kanak 3 tahun maut dipercayai didera

Oleh Nor Farhani Che Ad

KANAK-kanak lelaki berusia tiga tahun disahkan meninggal dunia di Hospital Kulim, Sabtu lalu dipercayai akibat didera.

Ketua Polis Daerah Kulim, Superintendan Mohd Yusuf Shaari berkata, susulan itu, pasangan suami isteri iaitu bapa dan ibu tiri kanak-kanak terbabit berusia 35 dan 34 tahun ditahan Ahad lalu bagi membantu siasatan.

"Mangsa dikatakan tidak sedarkan diri ketika bapanya bangun untuk menukar lampin mangsa pada 6.45 pagi di rumah mereka di Padang Serai sebelum dibawa ke Hospital Kulim dan disahkan sudah meninggal dunia.

"Makluman awal diperoleh daripada lelaki terbabit mendakwa mangsa jatuh dari katil," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Daerah (IPD) Kulim, hari ini.

Mohd Yusuf berkata, hasil bedah siasat mendapati terdapat kesan kecederaan di bahagian belakang dan tepi kepala, selain, kesan lebam pada belakang telinga, belakang badan, mulut dan bibir serta dahi mangsa.

Beliau berkata, kecederaan yang dialami mangsa boleh terhasil akibat apa-apa daya daripada objek tumpul pada bahagian kepala sama ada terhentak pada permukaan keras atau dihentak dengan objek tumpul yang keras.

"Corak kecederaan pada bahagian kepala mangsa adalah tidak berpadanan dengan kecederaan akibat jatuh dari tempat yang sederhana tinggi," katanya.

Beliau berkata, mangsa adalah anak bongsu daripada tiga beradik yang juga anak kandung kepada suspek lelaki.

"Mangsa adalah satu-satunya anak suspek yang tinggal bersama mereka, manakala dua lagi anaknya berusia enam dan sembilan tahun tinggal bersama ibu saudara," katanya.

Katanya, lelaki berkenaan mengahwini suspek wanita selepas kematian isteri pada 2018.

Beliau berkata, kedua-dua suspek disambung reman bermula hari ini sehingga 9 Jun depan.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh dan Seksyen 31(1) Akta Kanak-Kanak 2001 kerana mendera.

Disiarkan pada: June 4, 2020 @ 1:02pm
d