mutakhir

Dulu 'repair' 100 pasang kasut sehari, sekarang 5 pasang sebulan

Oleh Ahmad Rabiul Zulkifli

"SEPANJANG 20 tahun bekerja sebagai tukang kasut, ini kali pertama saya hanya terima lima pasang kasut untuk dibaiki sepanjang sebulan," kata Saidi Mohd, 52.

Saidi Mohd atau lebih dikenali sebagai Abang Di membuka perniagaan membaiki kasut di Hentian Bas Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT).

Menurutnya, sebelum Perintah Kawalan pergerakan (PKP) dikuatkuasakan, dia menerima sehingga 100 pasang kasut untuk dibaiki setiap hari namun sepanjang PKP, hanya lima pasang diterima dalam sebulan.

"Saya pernah memperoleh pendapatan RM10,000 hasil menjahit kasut pelanggan.

"Pendapatan saya bergantung kepada kemampuan pelanggan, jika pelanggan terjejas dan mengalami masalah kewangan, ia secara tidak langsung turut menjejaskan sambutan terhadap perkhidmatan ini," katanya.

Menurut Saidi Mohd, PKP dan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) antara punca perniagaannya merosot.

"Dalam keadaan semua orang berdepan masalah ekonomi, pasti tidak ramai yang mahu menghantar kasut untuk dibaiki.

"Boleh dapat RM50 sehari pun sudah memadai. Ketika ini, pendapatan harian saya tidak menentu iaitu antara RM20 hingga RM30 sehari," katanya.

Menurutnya, waktu operasi juga disingkatkan daripada jam 9 pagi hingga jam 4 petang kerana kekurangan pelanggan.

"Jika diikutkan, sukar untuk meneruskan perkhidmatan ini tetapi kerana mengenangkan keluarga, termasuk dua anak berusia 12 dan 19 tahun yang masih bersekolah, saya teruskan juga," katanya.

Berkaitan karenah pelanggan, katanya, segelintir pelanggan hanya menghantar kasut untuk dibaiki tetapi tidak menuntutnya apabila ia disiapkan pada waktu yang dijanjikan.

"Paling lama setahun dan ada kasut yang tidak diambil langsung sehingga ia rosak semula dan terpaksa dilupuskan.

"Ketika ini, saya simpan 30 pasang kasut yang tidak dituntut," katanya.

Disiarkan pada: June 4, 2020 @ 2:10pm
d