mutakhir

Tidak boleh kuarantin pekerja rentas negeri tanpa gaji [METROTV]

Oleh Hayati Ibrahim dan Raja Noraina Raja Rahim

PEKERJA yang merentas negeri dengan kebenaran tidak diwajibkan menjalani kuarantin selama 14 hari, kata Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Menurutnya, majikan tidak dibenarkan mengarahkan pekerja menjalani kuarantin dan dikira sebagai cuti tanpa gaji.

"Dari segi peraturan dikeluarkan Majlis Keselamatan Negara (MKN) adalah rakyat kita yang pulang dari luar negara mesti dikuarantin wajib selama 14 hari.

"Rakyat yang pulang dari Semenanjung ke Sabah dan Sarawak juga dikuarantin wajib oleh negeri berkenaan.

"Di Semenanjung, kita tidak benarkan rentas negeri tetapi yang mendapat kebenaran daripada polis untuk merentas negeri tidak diwajibkan untuk kuarantin 14 hari," katanya dalam sidang media harian di Putrajaya, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai terdapat majikan mewajibkan pekerja menjalani kuarantin selepas pulang dari rentas negeri dan menolak cuti tahunan serta mengenakan cuti tanpa gaji.

Mengulas lanjut, Ismail Sabri berkata, majikan boleh dikenakan tindakan mengikut peraturan oleh Kementerian Sumber Manusia.

"Adalah salah paksa pekerja dikuarantin 14 hari dan dikira sebagai cuti tanpa gaji. Ia menjadi kesalahan kerana tidak mengikut garis panduan dikeluarkan MKN," katanya.

Disiarkan pada: June 4, 2020 @ 3:44pm
d