mutakhir

Tidak wajar kutip yuran persekolahan [METROTV]

Oleh Hayati Ibrahim dan Raja Noraina Raja Rahim

SEKOLAH persendirian yang mendapat bantuan kerajaan tidak wajar mengutip yuran persekolahan daripada ibu bapa pelajar sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, ini kerana sekolah tidak beroperasi dan pelajar pula tidak mengikuti sesi persekolahan sepanjang tempoh berkenaan.

"Dari segi etika sepatutnya kalau perkhidmatan tidak diberikan maka bayaran tidak perlu diminta.

"Sekolah masih ditutup tentu saja guru-guru tidak mengajar di sekolah dan kos operasi hampir tidak ada kerana tidak membayar guru dan kakitangan lain. Kenapa pula ibu bapa terpaksa bayar yuran walaupun separuh," katanya dalam sidang media harian di Putrajaya, hari ini.

Beliau berkata demikian apabila ditanya mengenai terdapat sekolah persendirian bantuan kerajaan yang dikatakan meminta ibu bapa pelajar membayar separuh yuran persekolahan ketika tempoh PKP.

Ismail Sabri berkata, beliau memahami kemungkinan sekolah terbabit menghadapi masalah kewangan disebabkan penularan pandemik Covid-19 dan PKP dilaksanakan di negara ketika ini.

Bagaimanapun, katanya, ketika ini semua pihak termasuk ibu bapa juga berdepan masalah kewangan dan tindakan mengenakan yuran itu juga mungkin membebankan mereka.

"Ia seperti isu bas sekolah, kita kasihan kerana sekolah ditutup mereka tidak boleh hantar pelajar ke sekolah. Kita beritahu dan pengusaha bas pun bersetuju untuk tidak kutip tambang.

"Selagi sekolah tidak dibuka, saya harap tiada sekolah kutip yuran daripada pelajar," katanya.

Disiarkan pada: June 4, 2020 @ 4:19pm
d