mutakhir

Mesyuarat Majlis Pimpinan Bersatu malam ini bakal 'panas' ?

Oleh Yusmizal Dolah Aling

PENGESAHAN perlucutan keahlian secara automatik lima bekas pemimpin Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) adalah agenda utama mesyuarat Majlis Pimpinan Bersatu (MPT) malam ini.

Sumber berkata, jemputan mesyuarat berkenaan dikeluarkan kepada kedua-dua kumpulan, sama ada yang menyokong Tun Dr Mahathir Mohamad atau Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Katanya, jika kelima-lima mereka hadir dan menyertai mesyuarat, ia tidak akan diteruskan dan dibatalkan.

"Jika bekas ahli hadir semasa mesyuarat berlangsung, mereka tidak akan dihalang, tetapi mesyuarat perlu ditangguhkan sehingga mereka keluar dari dewan mesyuarat.

"Tetapi jika kelima-lima mereka masih berdegil untuk meneruskan mesyuarat, semua 21 ahli MPT yang menyokong Presiden akan keluar daripada dewan mesyuarat itu sehingga mereka meninggalkan dewan mesyuarat itu,"katanya kepada Harian Metro.

Menurutnya, harus mengesahkan mengenai perlucutan automatik keahlian mereka berlima pada malam ini juga bagi menamatkan kemelut parti yang berlanjutan sejak minggu lalu.

Selain bekas Perdana Menteri itu, turut terlucut keahlian adalah Datuk Seri Mukhriz Mahathir, Dr Maszlee Malik, Datuk Ir Amiruddin Hamzah dan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.

Katanya, daripada lima yang dipecat, hanya bekas Ketua Armada Syed Saddiq Syed Abdul Rahman yang menghantar surat rayuan manakala yang lain tidak berbuat demikian.

Jumaat lalu dalam satu sidang media, Dr Mahathir memecat Muhammad Suhaimi yang didakwanya menjalankan tugas melangkaui batas.

Pada sidang media lain hari yang sama, Setiausaha Agung Bersatu Datuk Seri Hamzah Zainudin pula memaklumkan, lima ahli parlimen berkenaan dilucut ahli secara automatik kerana beberapa kesalahan termasuk berada di blok pembangkang pada sidang parlimen 18 Mac lalu.

Lanjutan itu, dalam satu kenyataan media kelmarin, kelima-lima mereka mendakwa masih lagi ahli Bersatu dan pelucutan secara automatik itu tidak sah kerana tidak mengikut perlembagaan parti.

Disiarkan pada: June 4, 2020 @ 4:21pm
d