mutakhir

Covid-19: Keadaan bertambah baik... [METROTV]

Oleh Suraya Roslan dan Muhaamad Hafis Nawawi

PENULARAN wabak Covid-19 dalam kalangan rakyat Malaysia kini mencapai satu angka tanpa peningkatan mendadak.

Hospital kendalian Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) kini melihat pengurangan kes yang memerlukan rawatan di wad biasa Covid-19 mahupun di Unit Rawatan Rapi (ICU).

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, ia adalah hasil tindakan Kesihatan Awam yang dijalankan secara agresif dan tertumpu di lapangan oleh Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) dengan kerjasama pelbagai pihak.

"Kini pendekatan yang sama digunakan bagi terus mengawal penularan dalam kalangan kes warganegara dan bukan warganegara.

"PKD memainkan peranan amat penting dalam pelaksanaan pelbagai tindakan mencegah dan membendung jangkitan yang dilaksanakan secara berperingkat dan berterusan.

"Salah satu tindakan penting yang mula dilaksanakan sejak permulaan gelombang Covid-19 adalah aktiviti siasatan dan pengesanan secara aktif bagi kes Covid-19," katanya dalam sidang media harian Covid-19 di Putrajaya, hari ini.

Menurutnya, siasatan dan pengesanan kes Covid-19 merangkumi siasatan di lapangan termasuk kontak rapat, pengesanan kes secara aktif dari rumah ke rumah, aktiviti saringan secara bersasar, persampelan secara pandu lalu, aktiviti nyah kuman di rumah pesakit serta lokasi yang dikenal pasti.

"Peranan penyelarasan bagi semua aktiviti ini dimainkan Bilik Gerakan Covid-19 di setiap daerah dan negeri.

"Ini adalah satu faktor utama yang menjayakan koordinasi pelbagai aktiviti yang berjalan serentak di seluruh negara.

""Selain itu, Pejabat Kesihatan Daerah juga memastikan klinik kesihatan perlu bersiapsiaga untuk menjalankan saringan Covid-19 di kaunter yang dikenal pasti," katanya.

Katanya, klinik kesihatan tertentu di daerah masing-masing dipilih sebagai pusat pengambilan sampel dan juga sebagai Klinik Sentinel.

"Aktiviti survelan kes Covid-19 pula dijalankan melalui pengambilan sampel dengan kerjasama pelbagai pihak.

"Langkah ini memberi petunjuk kepada pihak kesihatan (KKM) mengenai penduduk yang terdedah kepada risiko jangkitan Covid-19.

"Menerusi aktiviti survelan juga, arahan pengasingan dan pembebasan, pemantauan kesihatan bagi kes kuarantin di rumah dan di pusat kuarantin turut dikeluarkan. Ini tertakluk kepada Akta Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988," katanya.

Katanya, kes yang dikuarantin diuruskan pasukan kesihatan bertugas di stesen kuarantin diwartakan.

"Ia adalah satu operasi interagensi yang memantau kesihatan Person Under Surveillance (PUS) yang ditempatkan di sana.

"Seperti makluman umum, Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) adalah tindakan kerajaan yang membolehkan aktiviti kesihatan awam dijalankan terutama pengesanan kes baharu di sesebuah lokasi berisiko tinggi yang dikesan mempunyai penularan jangkitan Covid-19.

"Sepanjang tempoh PKPD itu, bancian penduduk dari rumah ke rumah dilakukan pasukan kesihatan dan aktiviti persampelan oleh petugas klinik kesihatan bagi mengesan kes berisiko dijalankan," katanya.

Dr Noor Hisham berkata, aktiviti itu agak mencabar kerana anggota perlu memakai peralatan kelengkapan diri (PPE) untuk tempoh lama dalam keadaan cuaca panas dan berdepan dengan pelbagai cabaran lain.

"Walaupun jumlah kes hari ini terutama dalam kalangan bukan warganegara mencatat satu angka agak tinggi, namun peningkatan kes ini juga kesan daripada tindakan cemerlang oleh Pejabat Kesihatan Daerah di lapangan," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: June 4, 2020 @ 5:57pm
    d