mutakhir

Rakyat Melaka gembira dengan pelantikan Mohd Ali

Oleh Hassan Omar

RAKYAT Melaka bersyukur dan berbesar hati dengan perkenan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah mengurniakan Watikah Pelantikan Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri Melaka ketujuh kepada bekas Ketua Menteri Tun Mohd Ali Mohd Rustam.

Mereka menyifatkan pelantikan itu sebagai menepati keinginan masyarakat di negeri ini supaya anak jati Melaka dilantik memegang jawatan itu kerana sebelum ini belum ada pemimpin seumpama dilantik.

Pengusaha katering Kassim Salleh, 71, berkata, sebagai anak jati Melaka, Mohd Ali mampu memikul tugas dan tanggungjawab sebagai payung rakyat.

"Enam Yang di-Pertua Negeri Melaka sebelum ini termasuk Tun Dr Mohd Khalil Yaakob sudah melaksanakan tugas sebagai pemerintah negeri ini dengan baik dan kali ini tugas itu disambung anak negeri Melaka," katanya ketika ditemui di Kampung Durian Daun, Masjid Tanah, Alor Gajah, hari ini.

Seorang lagi penduduk Melaka, Jaafar Atan, 60, berkata, sebagai bekas Ketua Menteri, Mohd Ali mempunyai pengalaman luas dalam pentadbiran kerajaan negeri dan amat memahami masalah rakyat.

"Saya yakin dengan pengalaman seumpama itu, beliau mampu memberikan perkhidmatan terbaik untuk membantu Ketua Menteri Datuk Sulaiman Md Ali menjalankan tugas membawa kesejahteraan kepada rakyat.

"Pengalaman beliau memimpin kerajaan negeri dari 1999 hingga 2013 adalah pengalaman paling berharga untuk membawa kemakmuran untuk rakyat," katanya.

Pelantikan bekas Ketua Menteri Melaka itu berkuatkuasa hari ini sehingga tempoh empat tahun bagi menggantikan Mohd Khalil yang tamat tempoh perkhidmatan.

Berita berkaitan

Ali Rustam dilantik Yang Di-Pertua Negeri Melaka

Disiarkan pada: June 4, 2020 @ 6:03pm
d