mutakhir

Suka hati berhibur dalam pub tanpa ikut SOP

Oleh Nurul Hidayah Bahaudin

TINDAKAN 44 individu berkumpul tanpa penjarakan sosial di dalam sebuah premis pub dan bistro di Desa Jaya, Kepong, Gombak, mengundang padah apabila mereka ditahan polis, semalam.

Ketua Polis Daerah Gombak Asisten Komisioner Arifai Tarawe berkata, pihaknya menerima maklumat diberikan orang awam yang memaklumkan perkara itu jam 9.15 malam.

"Hasil pemeriksaan dilakukan, kami mendapati terdapat 44 pengunjung iaitu 29 lelaki dan 15 wanita berusia 18 hingga 47 tahun berada di dalam premis berkenaan. Mereka sedang minum minuman keras sambil mendengar muzik tanpa penjarakan sosial.

"Ketika ditanya, semua pengunjung gagal memberikan alasan munasabah tidak mengikut peraturan penjarakan sosial ditetapkan sebelum mereka dibawa ke balai polis," katanya pada sidang media di Balai Polis Rawang, di sini, hari ini.

Arifai berkata, semua pengunjung terbabit dikenakan tindakan kompaun sebanyak RM1,000 setiap seorang kerana melanggar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

"Tindakan kompaun diambil adalah selaras dengan Seksyen 3(1) Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2020," katanya.

Beliau berkata, pihaknya pernah membuat serbuan di lokasi sama atas kesalahan beroperasi lebih masa pada 26 Mei lalu.

"Semakan mendapati premis berkenaan dibenarkan beroperasi kerana mempunyai lesen sah daripada pihak berkuasa," katanya.

Dalam perkembangan berasingan, Arifai berkata, sebanyak 102 kompaun dikeluarkan pihaknya atas pelbagai kesalahan bagi tempoh 22 Mei lalu hingga semalam.

"Daripada jumlah itu, 30 kompaun dikeluarkan di sekatan jalan raya (SJR) Plaza Tol Gombak dan Jalan Batu 12 Jalan Gombak Lama.

"Selain itu, sebanyak 14 kompaun dikeluarkan membabitkan kesalahan ziarah Hari Raya Aidilfitri, manakala 59 kompaun lagi berkaitan kesalahan premis pub dan judi," katanya.

Disiarkan pada: June 4, 2020 @ 6:46pm
d