mutakhir

Jumpa mayat wanita warga emas dalam longkang

Oleh Muhaamad Hafis Nawawi

MAYAT wanita warga emas ditemui terbaring di dalam longkang di Jalan SR 8/6 Serdang Raya, hari ini.

Ketua Polis Daerah Serdang Asisten Komisioner Ismadi Borhan berkata, anggota Balai Polis Serdang menerima maklumat melalui panggilan telefon daripada seorang wanita memaklumkan terhidu bau busuk di dalam longkang di hadapan rumah dan mendapati mangsa dalam keadaan terbaring.

Menurutnya, siasatan lanjut di tempat kejadian mengesahkan menemui mayat wanita berusia 76 tahun.

"Pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan forensik hadir ke lokasi kejadian untuk membuat pemeriksaan fizikal ke atas tubuh badan mangsa dan mendapati tiada sebarang kesan kecederaan atas tubuh badannya.

"Siasatan di tempat kejadian mendapati tiada sebarang senjata yang dijumpai.

"Siasatan lanjut mendapati pada 28 Mei lalu keluarga si mati ada membuat laporan polis berkenaan mangsa keluar rumah dan tidak pulang," katanya dalam satu kenyataan media malam ini.

Ismadi berkata, mayat dihantar ke Hospital Serdang untuk dibuat ujian saringan Covid-19 dan bedah siasat.

"Kes diklasifikasi sebagai mati mengejut sementara menunggu laporan bedah siasat dikeluarkan yang akan dibuat pada esok selepas ujian saringan Covid-19 diperolehi.

"Kepada sesiapa yang mempunyai maklumat bolehlah menghubungi Balai Polis Seri Kembangan di talian - 0389486122," katanya.

Disiarkan pada: June 4, 2020 @ 11:28pm
d