mutakhir

Syukur 'food truck' boleh niaga semula

Oleh Ekhwan Haque Fazlul Haque

PENJAJA makanan dan kenderaan saji (food truck) lega apabila dibenarkan berniaga semula selepas lebih dua bulan tidak beroperasi.

Kebenaran itu kini kembali merancakkan semula ekonomi domestik yang sebelum ini suram ekoran pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akibat pandemik maut Covid-19.

Peniaga air, Huswatul Hasanah Hasanunbasri, 24, berkata, sambutan diterima masih perlahan namun jualan masih boleh memberi keuntungan.

Menurutnya, kebenaran itu sekali gus memberi kelegaan kerana pendapatan terjejas teruk selepas tidak dibenarkan berniaga sejak lebih dua bulan lalu.

"Terima kasih kepada kerajaan kerana mendengar rintihan peniaga kecil yang bergantung harap sepenuhnya dengan hasil jualan.

"Walaupun sambutan masih perlahan namun itu lebih baik kerana masih mampu menjana sedikit keuntungan untuk menampung perbelanjaan harian," katanya ketika ditemui, hari ini.

Bagi peniaga nasi ayam kunyit, M Usman Syaiful, 37, pendapatan terjejas teruk sebelum ini kerana bergantung sepenuhnya kepada hasil perniagaan.

Beliau berkata, kebenaran berniaga ini diharap dapat merancakkan semula pendapatan yang terjejas.

"Peniaga kecil berharap kebenaran ini berterusan kerana majoriti bergantung kepada hasil perniagaan untuk meneruskan hidup.

"Lega apabila kerajaan beri kebenaran semula untuk berniaga dan diharap orang ramai juga turut sama menyokong peniaga kecil," katanya yang sudah lima tahun berniaga.

Kementerian Wilayah Persekutuan membenarkan peniaga atau penjaja makanan tanpa premis perlu memastikan keperluan pendidikan pekerja berhubung kebersihan dan kesihatan peribadi serta premis semasa menjalankan perniagaan.

Ia termasuk keperluan merekod kehadiran dan suhu badan pekerja setiap hari, selain mengehadkan bilangan pelanggan di kawasan perniagaan pada satu-satu masa supaya tidak berkumpul dan sesak.

Disiarkan pada: June 5, 2020 @ 3:00pm
d