mutakhir

Duri 3 sentimeter dalam nasi berlauk

Oleh Ahmad Rabiul Zulkifli

"SAYA hampir termakan duri limau purut sepanjang tiga sentimeter dalam nasi berlauk itu," kata Maisarah Omar, 36, dari Kampung Kuala Ibai, Kuala Terengganu, ketika dihubungi.

Gambar duri terbabit dalam nasi berlauk yang dimuat naik Maisarah ke laman sosial Facebook (FB) tular dan mendapat kecaman netizen sejak kelmarin.

Maisarah berkata, dia membeli nasi berlauk itu di gerai di bandar raya ini.

"Sebelum ini saya pernah terbeli nasi yang tercemar dengan lalat tetapi kali ini, ia lebih menakutkan kerana terjumpa duri panjang terbabit.

"Syukur kerana nasi itu tidak dihidang untuk anak-anak.

"Memang duri itu panjang namun tidak mustahil jika tertelan," katanya.

Menurut Maisarah, berikutan kejadian, dia serik untuk membeli makanan di gerai.

"Isu puding buih yang menyebabkan kematian masih hangat diperkatakan. Penemuan duri dalam makanan memburukkan lagi tanggapan negatif terhadap segelintir peniaga makanan di negeri ini.

"Saya faham, peniaga tidak sengaja namun ia perlu dijadikan pengajaran dan mereka perlu lebih prihatin dalam menyediakan makanan.

"Jangan terlalu kemaruk untuk mendapatkan keuntungan sehingga mengabaikan faktor kebersihan dan keselamatan makanan," katanya.

Disiarkan pada: June 5, 2020 @ 3:19pm
d