mutakhir

Syukur, tiada anggota Imigresen positif Covid-19

Oleh Hafidzul Hilmi Mohd Noor

SEMUA anggota Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) yang bertugas di tiga depoh tahanan dan dikuarantin sebelum ini akan kembali bertugas bermula esok.

Difahamkan, semua mereka sudah menjalani ujian saringan Covid-19 dan menerima keputusan masing-masing.

Sumber berkata, setakat ini tiada anggota dan pegawai JIM yang dilaporkan positif Covid-19.

"Hanya ada beberapa pegawai yang mula bertugas hari ini kerana perlu menghadiri mesyuarat. Selebihnya dijangka akan mula bertugas esok," katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Sementara itu, tinjauan Harian Metro di pintu masuk Depoh Tahanan Imigresen Bukit Jalil selama sejam mendapati beberapa kenderaan dilihat keluar dan masuk melalui pintu utama.

Tiada sebarang aktiviti dapat dilihat dari pintu utama di kawasan depoh berkenaan.

Bagaimanapun beberapa anggota JIM lengkap berpakaian seragam dilihat masuk dan keluar menggunakan laluan utama itu.

Sebelum ini seramai 238 anggota JIM di tiga depoh tahanan iaitu Bukit Jalil, Semenyih dan KLIA diarah menjalani kuarantin selama 14 hari dan ujian saringan Covid-19.

Ia susulan peningkatan jumlah kes positif Covid-19 di kalangan Orang Kena Tahan (OKT) yang juga warga asing dari beberapa kawasan yang diisytiharkan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) sebelum ini.

Kes positif Covid-19 dalam kalangan bukan warganegara termasuk tahanan warga asing di Depoh Tahanan Imigresen (DTI) serta kes import menjadi penyebab meningkatnya kes baharu wabak penyakit maut ini di Malaysia sepanjang minggu ini.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: June 5, 2020 @ 3:51pm
    d