mutakhir

14,760 bungkusan ubat diambil melalui farmasi pandu lalu

Oleh Nurul Amanina Suhaini

SEBANYAK 14,670 bungkusan ubat pesakit disediakan menerusi penggunaan perkhidmatan farmasi pandu lalu sepanjang tempoh Perintah kawalan pergerakan (PKP) dan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) pada Mei lalu.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, R Vidyanathan berkata, laporan daripada Jabatan Kesihatan Negeri Johor (JKNJ) mendapati sebanyak 15,373 bungkusan ubat pesakit disediakan pada April lalu.

Katanya, ia menunjukkan peningkatan terhadap jumlah ubat pesakit yang disediakan iaitu peningkatan sebanyak 138 peratus berbanding dengan 6,306 bungkusan ubat yang disediakan setiap bulan sepanjang tahun lalu.

"Perkhidmatan farmasi pandu lalu adalah satu daripada lima Perkhidmatan Tambah Nilai Farmasi yang ditawarkan kepada pesakit di fasiliti kesihatan negeri ini (Johor) bertujuan mengatasi masalah yang dihadapi pesakit seperti sukar mendapatkan ruang parkir kenderaan, kesesakan di kaunter farmasi serta masa menunggu lama di farmasi.

"Perkhidmatan farmasi pandu lalu di Johor ditawarkan di enam daerah iaitu Johor Bahru sebanyak empat fasiliti, Kulai (1), Segamat (2), Batu Pahat (1), Muar (2) dan Kota Tinggi (1).

"Dua perkhidmatan farmasi yang tidak memerlukan pesakit hadir ke kaunter farmasi bagi mendapatkan bekalan ubat susulan adalah Ubat Melalui Pos (UMP) dan Perkhidmatan Farmasi Pandu Lalu," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, sepanjang tempoh PKP dan PKPB bagi bulan April dan Mei lalu, purata bilangan parcel bulanan UMP yang dihantar di Johor menunjukkan peningkatan sebanyak 247 peratus (7,488 purata parcel bulanan) berbanding tahun lalu.

Katanya, JKNJ menerusi Bahagian Perkhidmatan Farmasi berharap supaya perkhidmatan UMP akan terus menjadi pilihan pesakit untuk mendapatkan bekalan ubat.

"Sehubungan itu, rakyat di Johor dinasihatkan supaya kekal berada di rumah, jangan keluar sekiranya tiada urusan penting dan menjaga kebersihan diri dengan mengamalkan normal baharu seperti yang disarankan," katanya.

Disiarkan pada: June 5, 2020 @ 4:00pm
d