mutakhir

Tak gatal tapi geli... [METROTV]

Oleh Noorazura Abdul Rahman

KEADAAN cuaca lembab akibat musim hujan menyebabkan penduduk di daerah Sik terutama penoreh getah 'ditemani' ulat bulu ketika melakukan kerja mereka.

Tinjauan di beberapa kampung mendapati pokok getah dan pokok buah-buahan dipenuhi serangga berkenaan sehingga ada yang masuk ke dalam rumah.

Penoreh getah, Rosni Yaacob, 51, berkata ulat bulu itu mula muncul pada penghujung Ramadan lalu, namun ia tidak mengancam manusia dengan rasa gatal.

"Walaupun tak gatal, tapi saya tetap rasa geli apabila ia terlalu banyak di pokok.

"Setiap pagi saya terpaksa buang dahulu ulat bulu yang berada di dalam cawan getah dan pada bahagian torehan kerana jika tidak susah nak buat kerja.

"Saya juga terpaksa berhati-hati melakukan kerja kerana bimbang ia terjatuh ke pakaian disebabkan jumlahnya terlalu banyak," katanya.

Katanya, kehadiran ulat bulu itu agak luar biasa pada tahun ini berbanding pada tahun sebelum ini.

"Bagaimanapun, ulat itu hanya akan hidup selama 40 hari sebelum ia lenyap," katanya.

Sementara itu, penduduk Nurul Asyikin Mohd Nazri, 20, dari Kampung Lubuk Tualang, Sik, berkata pokok rambutan serta manggis berdekatan rumahnya turut dipenuhi dengan ulat bulu berkenaan.

Katanya, ulat bulu itu juga pernah naik ke atas katil di dalam biliknya menyebabkannya dia amat terkejut.

"Ulat ini berwarna hitam tak seperti ulat bulu lain yang gatal, ramai rakan sekampung yang berani pegang, namun saya tetap tak berani kerana geli," katanya.

Disiarkan pada: June 5, 2020 @ 4:01pm
d