mutakhir

Kilang kitar semula plastik terbakar

Oleh Nor Farhani Che Ad

KILANG kitar semula plastik di Jalan Perbadanan Kemajuan Negeri Kedah (PKNK), Taman Ria Jaya di Sungai Petani musnah dalam kebakaran, hari ini.

Dalam kejadian kira-kira 10.45 pagi, tiada kecederaan dilaporkan berikutan kilang itu tidak beroperasi kerana cuti hujung minggu.

Ketua Zon 2 Sungai Petani, Penguasa Kanan Bomba II Mohd Mazukhi Shaffie berkata, kebakaran disedari oleh pengawal keselamatan di kilang itu selepas ternampak asap keluar dari salah sebuah bangunan.

Menurutnya, seramai 21 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Aman Jaya dan BBP Sungai Petani bersama empat jentera dikejarkan ke lokasi kebakaran sebaik menerima panggilan kecemasan.

"Ketika tiba di lokasi, anggota bomba mendapati kebakaran berlaku di sebuah blok yang dijadikan sebagai tempat pembuatan.

"Kebakaran turut membabitkan longgokan barangan kitar semula plastik yang berada di luar bangunan," katanya ketika ditemui di lokasi.

Mohd Mazukhi berkata, tindakan memadam kebakaran dilakukan bagi mengelakkan api terus merebak sebelum berjaya dikawal kira-kira 11.30 pagi.

Katanya, kebakaran mengakibatkan barangan kitar semula musnah keseluruhan, manakala bangunan terbabit terbakar 60 peratus.

"Setakat ini, punca kejadian dan jumlah kerugian masih dalam siasatan," katanya.

Disiarkan pada: June 5, 2020 @ 4:10pm
d