mutakhir

Tiada lagi peniaga, penjaja, pekerja asing di premis PBT

Oleh Nurul Amanina Suhaini

JOHOR akan memastikan tiada lagi warga asing dibenarkan berniaga, menjadi penjaja ataupun diambil bekerja di pasar awam dan premis perniagaan milik pihak berkuasa tempatan (PBT) di negeri berkenaan.

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Johor, Ayub Jamil berkata, tindakan tegas itu diperkasakan dengan lebih agresif bertujuan mengutamakan peniaga tempatan bagi meraih lebih keuntungan tatkala ekonomi kini terjejas akibat pandemik Covid-19.

Katanya, hala tuju itu ditetapkan sebagai gambaran jelas bahawa mana-mana warga asing tidak boleh atau dibenarkan memiliki lesen perniagaan atau permit berniaga dikeluarkan PBT.

"Kesemua 16 PBT di Johor akan ditugaskan menyemak status peniaga sedia ada serta melakukan pemeriksaan di setiap pasar awam dan premis milik PBT mengikut Undang-Undang Kecil Penjaja PBT Negeri Johor.

"Peniaga tempatan boleh dikenakan tindakan tegas sekiranya memberi peluang kepada warga asing dengan menyewa, memberikan lesen atau permit perniagaan mereka kepada warga asing.

"Kerajaan negeri menerusi PBT juga boleh mengambil tindakan seperti pembatalan lesen perniagaan dan melucut hak pemilikan premis perniagaan yang diberikan kepada warga tempatan jika didapati memberi peluang berniaga kepada warga asing," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurutnya, tindakan itu juga termasuk kepada warga tempatan yang berkahwin dengan warga asing.

"Warga asing dengan status ini juga tetap tidak dibenarkan membuka kedai atau melakukan perniagaan di bawah nama isteri atau suami mereka.

"Bagi terma tidak dibenarkan menggunakan pekerja asing pula, kerajaan negeri melihat perkara ini sebagai penyelesaian bagi membanteras kegiatan perniagaan secara haram yang dilihat mencuri hasil ekonomi negeri," katanya.

Katanya, ia juga sebagai inisiatif untuk membantu pihak berkuasa mengesan individu yang didapati melakukan kesalahan menggunakan pekerja asing terutama yang tidak mempunyai permit atau pendatang asing tanpa izin (Pati).

"Masyarakat boleh menyalurkan sebarang maklumat kepada PBT, sekiranya mendapati terdapat warga asing yang berniaga atau dilihat bekerja di lokasi berkenaan. Secara jelas, mereka ini memang tidak dibenarkan untuk berbuat sedemikian," katanya.

Disiarkan pada: June 5, 2020 @ 4:30pm
d