mutakhir

Rampas rokok putih RM210,000

Oleh Mohd Roji Kawi

PASUKAN Polis Marin (PPM) Wilayah 5 Sarawak merampas 150 karton rokok putih dianggarkan bernilai RM210,000 selepas menahan kenderaan pelbagai guna jenis Toyota Unser di Jalan Simen Raya, di Kuching, pagi tadi.

Penahanan itu dilakukan sepasukan lima anggota dan seorang pegawai Unit Rondaan Marin (URM) jam 9.30 pagi.

Komander PPM Wilayah 5, Asisten Komisioner Shamsol Kassim berkata, pihaknya yang terbabit dalam Op Covid Landai menahan kenderaan itu selepas dilihat dalam keadaan mencurigakan.

"Kereta itu dipandu lelaki berusia 30 tahun," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Shamsol berkata, pemeriksaan lanjut di dalam kereta itu menemui 25 kotak besar yang mengandungi 150 karton rokok putih.

"Pemeriksaan juga tidak menemui tanda cukai pada rokok dan stok itu dipercayai untuk diedarkan di pasaran sekitar bandar raya ini (Kuching).

"Lelaki terbabit ditahan dan kereta serta rokok dirampas untuk siasatan lanjut mengikut Akta Kastam 1967," katanya.

Disiarkan pada: June 5, 2020 @ 6:12pm
d