mutakhir

Pelan Ekonomi PM mampu kurangkan penganggur

Oleh Rosyahaida Abdullah

"SYUKUR, inisiatif ini memberi sedikit kelegaan kepada kami yang risau apabila melihat beberapa syarikat lain mula memberhentikan pekerja mereka," kata Kakitangan swasta di Selangor, Noni Sumarni Ngadul.

Noni Sumarni, 42, memberikan reaksi terhadap pengumuman Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berhubung beberapa inisiatif bagi mengurangkan kadar pengangguran termasuklah lanjutan Program Subsidi Upah dan Program Insentif Pengambilan Pekerja.

Menurut Noni Sumarni, walaupun program itu tidak menjamin pekerjaan yang dimiliki ketika ini, ia setidak-tidaknya diharap dapat membantu majikannya menstruktur peruntukan gaji pekerja dengan lebih baik menjelang pasca Covid-19.

"Selain insentif untuk bantu kurangkan tekanan pembayaran gaji oleh majikan, saya juga tentunya berterima kasih kepada Perdana Menteri atas RM50 yang akan dikreditkan ke dalam akaun pengguna e-dompet.

"Realitinya kebelakangan ini, selain barangan kehendak, saya turut menggunakan platform e-dagang seperti Shopee dan sebagainya untuk membeli barang dapur bagi mengelak risiko jangkitan (Covid-19) di luar," katanya kepada Harian Metro ketika dihubungi.

Bagi Dzulhijjah Muhamad, 37, dia juga lega apabila mengetahui insentif gaji pekerja disediakan kerajaan menerusi Pelan Pemulihan Ekonomi Jangka Pendek khusus untuk majikan.

Menurutnya, langkah itu mampu mengurangkan pengangguran dalam kalangan rakyat.

Kata kakitangan swasta di ibu negara ini, selain mengurangkan risiko dibuang kerja, langkah itu secara tidak langsung menyelamatkan rantaian ekonomi yang berlaku membabitkan pekerja terbabit.

"Jika saya sendiri hilang pekerjaan, ia pastinya akan menjejaskan pendapatan pengasuh anak saya apabila saya tidak lagi dapat menghantar anak saya ke rumahnya," katanya.

Penuntut, Azimin Asnil, 36, yang kini sedang melanjutkan pengajian di peringkat ijazah sarjana di sebuah institusi pengajian tinggi awam (IPTA) di ibu negara turut gembira dengan pengumuman Perdana Menteri itu.

Menurut bapa kepada seorang cahaya mata ini, bantuan itu memudahkannya menyiapkan tugasan pengajian yang memerlukan capaian internet terutama sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berkuat kuasa Mac lalu.

"Sebagai penuntut IPTA, tentunya saya sangat berterima kasih dengan data percuma sebanyak 1GB yang membolehkan saya mengakses jurnal dan laman web berkaitan pengajian saya.

"Pada masa sama, peruntukan data percuma ini juga boleh digunakan oleh anak saya yang kini berada di Tahun 3 di mana setiap hari guru di sekolah kebangsaan dan sekolah agamanya akan memberikan pelbagai tugasan pengajaran dan pembelajaran (PDP) secara dalam talian," katanya.

Berita berkaitan Pelan Pemulihan Ekonomi Jangka Pendek (PENJANA):

  • RUU Covid-19 (Langkah Sementara) akan digubal
  • Internet percuma 1GB sehingga 31 Disember
  • RM50 masuk e-dompet
  • Pengecualian cukai jualan kereta penumpang
  • RM300 untuk OKU, ibu tunggal
  • Individu hilang pekerjaan boleh tuntut elaun latihan
  • Waktu operasi UTC dilanjutkan
  • Majikan ambil pekerja dapat insentif
  • Pengangkutan awam tanpa had dengan MY30
  • Program subsidi upah dilanjutkan 3 bulan lagi
  • Inisiatif beli barangan Malaysia
  • RM75 juta bantu ekonomi gig
  • Empat langkah aktifkan industri pelancongan
  • Geran untuk pengendali taska
  • 80 peratus kes Covid-19 pulih sepenuhnya
  • Pelan Jana Semula Ekonomi Negara diperkenal
  • Disiarkan pada: June 5, 2020 @ 6:59pm
    d