mutakhir

KWSP sambut baik geran padanan kerajaan

Oleh Sri Ayu Kartika Amri

KUMPULAN Wang Simpanan Pekerja (KWSP) mengalu-alukan pemberian geran padanan oleh kerajaan untuk pekerja dalam sektor ekonomi gig yang membuat simpanan KWSP melalui program i-Saraan.

i-Saraan adalah program caruman sukarela KWSP dengan insentif untuk golongan yang bekerja sendiri.

Ciri utama kemudahan ini adalah pemberian insentif khas kerajaan sebanyak 15 peratus (tertakluk kepada jumlah maksimum RM250 setiap tahun) kepada ahli di bawah umur 55 tahun yang mendaftar dan mencarum dalam program ini.

Ketua Pegawai KWSP Alizakri Alias berkata, usaha kerajaan itu adalah tepat pada masanya bagi menyesuaikan dengan perkembangan semasa dalam sektor pekerjaan.

"Tahun ini adalah tahun yang tidak menentu dan mencabar buat semua, ditambah pula dengan keadaan pandemik yang telah mengubah landskap pekerjaan kita.

"Namun, adalah sesuatu yang memberangsangkan apabila kita melihat ramai individu dapat memanfaatkan peluang yang muncul sepanjang tempoh krisis ini.

"Kami maklum bahawa ramai yang memilih untuk bekerja dengan platform penghantaran makanan dan bungkusan pada masa ini.

"Pekerja platform gig di Malaysia, terutamanya pemandu dan pengendali penghantaran, sudah menjadi nadi ekonomi negara kita dalam bulan mencabar ini," katanya dalam kenyataan dikeluarkan.

Menurutnya, secara teknikal bekerja sendiri, tiada mekanisme formal untuk mereka membuat simpanan bagi masa hadapan.

Beliau berharap insentif kerajaan ini akan mendorong golongan terbabit untuk mula menabung.

Hari ini, kerajaan sudah mengumumkan peruntukan RM50 juta di bawah Pelan Pemulihan Ekonomi yang bertujuan menyokong rangka perlindungan sosial untuk sektor ekonomi gig dan menggalakkan pekerja platform gig untuk menyimpan demi masa depan.

Disiarkan pada: June 5, 2020 @ 7:01pm
d