mutakhir

Rayuan kes jenayah tanpa dokumen Selasa ini

Oleh BERNAMA

PANEL sembilan hakim Mahkamah Persekutuan di sini akan mendengar rayuan kes jenayah pada Selasa ini tanpa salinan fizikal dokumen (kertas) atau e-Appellate dan prosiding akan berlangsung di Dewan Bankuet, Istana Kehakiman.

e-Appellate bermakna prosiding kes tidak lagi memerlukan salinan fizikal dokumen, sebaliknya hakim dan pihak dalam prosiding berkenaan akan merujuk kepada salinan lembut dokumen menerusi peranti mudah alih iaitu iPad atau komputer riba.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan Pejabat Ketua Pendaftar Mahkamah Persekutuan Malaysia (PKPMP) hari ini, prosiding pada Selasa membabitkan rayuan kes dadah dan bunuh membabitkan empat individu.

"Prosiding dijalankan di Dewan Bankuet kerana jika persidangan dijalankan di mahkamah terbuka seperti keadaan biasa, jarakan sosial tidak dapat dilaksanakan berdasarkan saiz mahkamah dan kapasiti jumlah pihak-pihak yang terlibat," kata PKPMP.

Sehubungan itu, Dewan Bankuet akan diubah suai dengan susun atur seperti di mahkamah terbuka dengan meletakkan 'bench' hakim, meja peguam, kandang tertuduh dan juga galeri awam.

Susun atur ini dibuat dengan mengambil kira normal baharu penjarakan sosial antara sembilan orang hakim, peguam, Orang Kena Tuduh (OKT) dan lain-lain pihak terbabit.

Sebagai langkah pencegahan penularan jangkitan COVID-19, peguam- peguam dan orang awam yang hadir bagi pendengaran kes wajib merekodkan kehadiran melalui Sistem Pengesanan Pelawat Mahkamah dan diambil suhu badan sebelum dibenarkan masuk.

Mengenai e-Appellate, PKPMP berkata, ini kali pertama Mahkamah Persekutuan yang bersidang di Putrajaya mengadakan persidangan kes jenayah menerusi kaedah itu.

Persidangan mahkamah secara e-Appellate dilaksanakan di Mahkamah Persekutuan dan Mahkamah Rayuan yang bersidang di Sabah dan Sarawak bermula pada Januari lalu.

Bagi Mahkamah Tinggi Malaya, kajian sedang dilakukan untuk melaksanakan sistem e-Appellate pada tahun depan.

Badan Kehakiman Malaysia percaya persidangan pada Selasa ini satu anjakan untuk memastikan kes yang membabitkan isu perlembagaan dapat didengar walaupun dalam normal baharu bagi memastikan pentadbiran kehakiman dapat diteruskan.

Selain itu, pelaksanaan e-Appellate bukan sahaja memberikan manfaat kepada persekitaran dalam mengurangkan jejak karbon, kos pencetakan dan pengangkutan, tetapi juga mengurangkan beban kos kepada para litigan sekali gus meningkatkan akses kepada keadilan.

Rayuan kes jenayah Selasa ini membabitkan rakyat Peru, Jorge Crespo Gomes serta dua rakyat Afrika Selatan iaitu Letitia Bosman dan Benjamin William Hawkes yang disabitkan dan dijatuhi hukuman secara berasingan oleh Mahkamah Tinggi antara 2015 dan 2016 kerana mengedar dadah pada 2013.

Rayuan ketiga-tiga rakyat asing itu telah ditolak oleh Mahkamah Rayuan.

P. Pubalan pula telah disabitkan dengan kesalahan membunuh dan dijatuhi hukuman mati oleh Mahkamah Tinggi pada 2016.

Rayuannya ditolak oleh Mahkamah Rayuan pada 2018.

Disiarkan pada: June 5, 2020 @ 7:58pm
d