mutakhir

Lapor polis jika wanita 'gila' PUBG dipukul suami

Oleh Nurul Fatihah Sulaini

POLIS tidak menerima sebarang laporan berhubung dakwaan seorang wanita yang dikatakan melarikan diri kerana kegilaan terhadap permainan popular atas talian PUBG menjadi mangsa keganasan rumah tangga.

Ketua Polis Daerah Setiu, Deputi Superintendan Afandi Hussin berkata, polis sedia maklum mengenai dakwaan yang tular di media sosial yang mendakwa wanita itu menghilangkan diri kerana sering dipukul suami dan bukannya disebabkan permainan atas talian.

"Bagaimanapun setakat hari ini, kita hanya terima laporan polis yang dibuat suaminya pada Selasa lalu selepas isterinya gagal dikesan sejak 31 Mei lalu.

"Polis maklum dengan tular yang menyatakan wanita itu dipukul suaminya dan jika benar, kita harap pengadu dapat tampil membuat laporan supaya tindakan sewajarnya dapat diambil," katanya yang dihubungi hari ini.

Beliau berkata, setakat ini, kes disiasat sebagai laporan orang hilang.

Sebelum ini tular di laman sosial apabila seorang pengguna Twitter mengaku sepupu kepada wanita itu mendakwa wanita berusia 22 tahun itu dipukul suami selain tidak diberi nafkah.

Media pada 3 Jun lalu melaporkan wanita itu didakwa meninggalkan suami dan anaknya yang berusia tiga tahun pada 31 Mei lalu akibat terlalu taksub dengan PUBG.

Difahamkan wanita dari Penarik, Setiu itu menghilangkan diri gara-gara permainan itu dan gagal dikesan sehingga kini.

Berita berkaitan

Wanita tinggal suami, anak kerana 'gila' PUBG

Disiarkan pada: June 5, 2020 @ 8:26pm
d