mutakhir

Hangus duit sewa RM10,000

Oleh Zaid Salim

LEBIH RM10,000 wang kutipan sewa rumah milik seorang warga emas hangus apabila kediaman didudukinya bersama anak perempuan terbakar dalam kejadian di Kuala Terengganu, 7.40 malam tadi.

Kebakaran membabitkan kemusnahan tingkat atas kediaman itu turut memusnahkan barangan kemas yang mengakibatkan nilai keseluruhan kerugian dianggarkan lebih RM80,000.

Rahmah Maznah Ngah, 76, yang juga ibu tunggal berkata, kejadian berlaku ketika dia bersama anak perempuannya Norbaini Othman, 53, baru selesai makan sebelum menunaikan solat Maghrib.

"Kebiasaannya selesai makan, saya dan anak akan naik ke tingkat atas untuk solat maghrib, namun, saya tidak sempat menunaikan solat selepas mendapati api marak di tingkat atas," katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.

Katanya, kebakaran disedari anaknya selepas mendapati kepingan papan yang hangus jatuh dari tingkat atas ketika dia sedang mencuci tangan selepas selesai makan.

Menurutnya, selepas mendapati api semakin marak, dia bersama anak bergegas keluar menyelamatkan diri.

"Saya hanya sempat mencapai beg tangan yang diletakkan di tingkat bawah, manakala wang kutipan sewa rumah itu saya simpan dalam almari di tingkat atas selepas diberikan adik, semalam," katanya.

Biarpun sebahagian rumah berusia lebih 30 tahun itu musnah, namun dia bersyukur apabila mereka terselamat dalam kebakaran itu.

Sementara itu, Pegawai Zon 1, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Terengganu, Penolong Penguasa Bomba (PPgB) Arifuddin Ali, berkata, seramai 26 anggota bersama dua jentera dikejarkan ke lokasi kejadian sebaik menerima panggilan jam 7.46 malam.

"Sebaik tiba, kita mendapati api marak di tingkat atas, manakala dua penghuni wanita sempat keluar menyelamatkan diri," katanya.

Katanya, keseluruhan api berjaya dipadamkan jam 8.30 malam dan siasatan sedang dijalankan bagi mencari punca dan anggaran kerugian.

Disiarkan pada: June 6, 2020 @ 8:55am
d