mutakhir

'Anda datang bawa berita gembira'

Oleh Nor Farhani Che Ad

RAMADAN lazimnya memberi rezeki berganda kepada Pertubuhan Rumah Anak Yatim Daerah Kuala Muda di sini, bagi menambah dana ke dalam tabung menerusi aktiviti yang dijalankan.

Bagaimanapun, situasi itu tidak berlaku pada Ramadan lalu apabila semua aktiviti terpaksa dibatalkan, malah penghuni pusat jagaan juga diarahkan pulang ke rumah waris masing-masing berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Penyelia pusat jagaan itu, Zaharah Mohamed Khir berkata, keadaan terbabit sekali gus menjejaskan sumber kewangan mereka yang selama ini bergantung pada sumbangan orang ramai.

"Kewangan tabung pertubuhan agak terjejas selepas pelaksanaan PKP menyebabkan beberapa perkara seperti penyelenggaraan pusat jagaan tidak dapat dilakukan berikutan kekurangan dana.

"Walaupun penghuni tidak berada di pusat jagaan, kami masih menghantar bantuan seperti barangan keperluan asas bagi meringankan beban waris mereka," katanya.

Bagaimanapun, Zaharah berkata, pihaknya terharu dan tidak menyangka pusat jagaan itu terpilih menerima sumbangan menerusi program Titipan Kasih Harian Metro (TKHM) Ramadan 2020.

Program berkenaan mendapat kerjasama PLUS Malaysia Berhad (PLUS) dan Lebuhraya Pantai Timur 2 Sdn Bhd (LPT2) yang menghulurkan sumbangan kepada 13 rumah kebajikan terpilih.

Program tanggungjawab sosial korporat (CSR) yang masuk tahun ke-13 itu bertujuan membantu segelintir masyarakat yang hidup dalam serba kekurangan supaya dapat menjalani ibadah puasa dan menyambut Syawal dengan lebih ceria.

Menerusi kerjasama itu, dana terkumpul berjumlah RM65,000 disumbangkan ke rumah kebajikan seperti rumah anak yatim, pusat jagaan warga emas dan orang kurang upaya di Semenanjung.

Menurutnya, sumbangan berjumlah RM5,000 berkenaan dianggap tepat pada masanya demi kelangsungan operasi pusat jagaan berkenaan.

"Tahun ini kami tidak menerima geran makan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) berikutan lesen pusat jagaan yang tamat Mac lalu tidak dapat diperbaharui.

"Faktor itu menyebabkan kami tidak mempunyai kelulusan daripada Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) yang meminta dibina sistem hose reel dan fire alarm panel dengan perbelanjaan sekitar RM48,000," katanya.

Justeru, katanya, sumbangan diterima itu akan disimpan untuk dikumpulkan bagi tujuan pembinaan sistem berkenaan.

Menurutnya, setiap bulan mereka memerlukan RM15,000 bagi kos operasi termasuk perbelanjaan persekolahan, pengangkutan, penyelenggaraan dan sebagainya.

"Macam mana pun kami perlu memperbaharui lesen pusat jagaan, jadi sumbangan yang diperoleh ini akan disimpan untuk digunakan bagi keperluan pada masa depan," katanya.

Pusat jagaan yang siap dibina oleh Yayasan Islam Negeri Kedah Darul Aman pada Disember 1999 menempatkan 37 penghuni lelaki terdiri daripada anak yatim dan fakir miskin berusia sembilan tahun hingga 17 tahun.

Disiarkan pada: June 6, 2020 @ 10:05am
d