mutakhir

Sewa banglo anjur parti dadah

Oleh Suraya Roslan

SERAMAI 39 individu termasuk 9 wanita warga Vietnam ditahan dalam serbuan parti liar dadah di Bangsar, Kuala Lumpur, pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Brickfields Asisten Komisioner Zairulnizam Mohd Zainuddin @ Hilmi berkata, serbuan dibuat pada 1.15 pagi oleh pasukan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Brickfields di sebuah banglo di Bangsar adalah hasil maklumat awam.

"Kami menahan 19 lelaki, 10 wanita dan sembilan wanita warga Vietnam berusia 18 hingga 40 tahun. Kita turut merampas tiga paket plastik berisi dadah disyaki Methylenedioxymethamphetamine (MDMA) seberat 46.13 gram (g) dan 12 pil ekstasi seberat 4.63 g.

"Selain itu, tiga paket plastik berisi dadah disyaki ketamin anggaran berat 4.5 g turut dirampas. Kesemua nilai rampasan dianggarkan RM5,647," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurutnya, hasil siasatan mendapati salah seorang suspek wanita menyewa rumah banglo itu menerusi aplikasi popular dengan sewa RM1,900 untuk satu malam.

"Dadah yang dirampas dibawa masuk salah seorang suspek dipercayai penganjur parti dan semua peserta dijemput menerusi aplikasi Whatsapp dan panggilan telefon," katanya.

Zairulnizam berkata, hasil ujian air kencing mendapati 32 suspek positif dadah manakala tujuh lagi negatif dan kes disiasat mengikut Seksyen 39A (2) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952, Seksyen 12(2) ADB dan Seksyen 15(1)(a) akta yang sama.

"Selain itu, semua suspek warganegara Malaysia dikenakan kompaun RM1,000 atas kesalahan ingkar Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) manakala warga asing ditahan mengikut Seksyen (6)(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana tiada dokumen pengenalan diri yang sah.

"Semua suspek ditahan reman selama tujuh hari bermula semalam.

"Kami juga mengucapkan terima kasih kepada orang awam yang memberikan maklumat berkaitan parti liar berkenaan," katanya.

Disiarkan pada: June 6, 2020 @ 1:13pm
d