mutakhir

90 pokok nangka madu musnah diserah gajah

Oleh Mohd Rafi Mamat

KERUGIAN lebih RM18 juta terpaksa ditanggung oleh 43 pekebun sejak tujuh tahun lalu berikutan projek tanaman nangka madu di Tanaman Kekal Pengeluaran Makanan (TKPM) Kota Perdana dan TKPM Muadzam Shah, Kuantan musnah diserang kumpulan 13 gajah.

Hampir setiap tahun kumpulan haiwan liar itu menceroboh dan memusnahkan tanaman peserta projek yang turut menanam pisang, kelapa dan beberapa tanaman lain.

Peserta Osman Saadon, 59 berkata, serangan terbaru kumpulan gajah berkenaan di TKPM Kota Perdana berlaku pada malam 25 Mei lalu yang menyebabkan 90 pokok nangka madu di kebunnya yang sedang berbuah musnah dan menyebabkan kerugian kira-kira RM27,000.

Katanya, kedudukan TKPM Kota Perdana dan TPKM Muadzam Shah yang terletak bersebelahan dengan Hutan Simpan Ibam memudahkan lagi untuk kumpulan gajah berkenaan menceroboh dan memusnahkan projek tanaman yang diusahakan.

Menurutnya, tumpuan utama haiwan terbabit menceroboh ialah untuk makan tanaman pisang namun ketika merayau dia bertindak menolak dan mematahkan sambil menolak pokok nangka hingga tumbang.

"Saya tidak menyangka dalam kemeriahan menyambut Aidilfitri kebun nangka madu yang diusahakan diceroboh kumpulan gajah, sebanyak 90 pokok musnah hanya dalam sekelip mata sahaja.

"Sejak tujuh tahun lalu ancaman haiwan terbabit berlaku hampir setiap tahun cuma lokasi kebun sahaja berbeza. Masalah ini sudah berlarutan dan pekebun terus menanggung kerugian. Oleh itu kami memohon supaya Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) Pahang dapat mengambil tindakan mengatasi masalah ini," katanya selepas mengadakan perjumpaan dengan sebahagian pekebun, di Pekan semalam.

Mohd Derus Abdul Latif, 59, pula berkata, serangan gajah dikebunnya berlaku selama tiga tahun berturut-turut sejak 2016 yang menyebabkan 95 pokok nangka madu dan lebih 400 pokok pisang musnah dengan kerugian bernilai lebih RM280,000.

"Selain menempatkan pekerja yang mengawal kawasan kebun, saya juga menggunakan unggun api dan lampu kelip berwarna biru yang dipasang dibeberapa lokasi sempadan dengan Hutan Simpan Ibam.

"Saya difahamkan PERHILITAN sedang membina pagar elektrik namun disebabkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sebelum ini projek berkenaan kini tertangguh," katanya.

Oleh itu pihaknya merayu kepada kerajaan supaya dapat menyediakan bantuan khas termasuk input pertanian yang sesuai seperti baja bagi menampung sebahagian kerugian yang dialami selain mendapat pengecualian bayaran sewa tanah tahun ini yang diburukkan lagi wabak Covid-19.

Disiarkan pada: June 6, 2020 @ 1:31pm
d