mutakhir

Jugah janji sokong Muhyiddin, PN

Oleh Yusmizal Dolah Aling

AHLI Parlimen Lubok Antu, Jugah Muyang bertemu dengan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin di Putrajaya hari ini.

Beliau menyampaikan aku janji menyokong penuh kerajaan Perikatan Nasional (PN) yang diterajui Perdana Menteri.

Ia susulan tindakannya yang mengumumkan keluar keluar daripada PKR dan menjadi wakil rakyat bebas semalam.

Dalam satu kenyataan semalam, beliau yang juga Naib Presiden PKR memaklumkan turut menyatakan sokongan terhadap Gabungan Parti Sarawak (GPS) yang diketuai Datuk Patinggi Abang Johari Abang Openg.

Jugah berkata, beliau kesal apabila berlaku masalah dalaman parti dalam Pakatan Harapan (PH).

"Saya juga kesal berikutan permasalahan dalaman PH (Februari lalu) menyebabkan Perdana Menteri ketika itu (Tun Dr Mahathir Mohamad) meletak jawatan sehingga akhirnya kerajaan PH tumbang," katanya.

Pengumuman juga itu menyaksikan kemelut politik tanah air semakin menarik selepas ahli parlimen Sri Gading Datuk Dr Shahruddin Md Salleh meletakkan jawatan sebagai Timbalan Menteri Kerja Raya yang menyokong PN Khamis lalu.

Sebelum ini, Perdana Menteri turut menerima kunjungan ahli parlimen Bukit Gantang, Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal juga menyatakan sokongan kepada PN.

Disiarkan pada: June 6, 2020 @ 2:24pm
d