mutakhir

Sesi klinik pakar dikurangkan sehingga 70 peratus

Oleh Mohamed Farid Noh

JUMLAH keseluruhan pesakit pada sesi klinik pakar di Johor dikurangkan kepada antara 60 hingga 70 peratus sebagai langkah berjaga-jaga susulan penularan wabak Covid-19.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar Johor, R Vidyananthan berkata, bagaimanapun waktu operasi klinik pakar di seluruh negeri kekal dan tidak berubah.

"Operasi klinik pakar dilaksanakan dengan kawalan serta langkah pencegahan penularan wabak Covid-19 dengan memberi fokus kepada kawalan pintu masuk dan mengurangkan kesesakan di klinik.

"Semua rekod pesakit yang dijadualkan ke klinik disaring dan diklasifikasikan mengikut jenis penyakit dan keperluan perawatan. Pesakit yang stabil akan dijadual semula untuk datang ke klinik tarikh yang bersesuaian.

"Bagi pesakit yang stabil tetapi memerlukan preskripsi ubat, mereka akan dipanggil untuk menambah stok ubat dan diberi anjakan tarikh yang bersesuaian," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Mengulas lanjut, Vidyananthan berkata, pesakit yang memerlukan pemeriksaan dan rawatan ulangan secara kerap tidak akan diubah tarikh temujanji.

Katanya, bagi pesakit yang ingin menghadiri sesi konsultasi, mereka dinasihatkan untuk datang mengikut blok masa yang ditetapkan untuk mengelakkan kesesakan.

"Seorang penjaga sahaja dibenarkan menemani pesakit di dalam bilik konsultasi dan juga kawasan klinik. Saringan suhu badan pesakit dan penjaga akan dijalankan di pintu masuk utama klinik (bagi mereka yang demam, mereka akan terus dirujuk terus ke Jabatan Kecemasan). Penjaga dan pesakit juga perlu memakai pelitup muka di kawasan klinik sepanjang masa, " katanya.

Sementara itu, Vidyananthan berkata, seorang warga emas lelaki berusia 61 tahun meninggal dunia akibat wabak Covid-19 di Hospital Enche' Besar Hajah Khalsom, Kluang, malam Khamis lalu.

Katanya, kes kematian ke-116 (kes-7,733) itu membabitkan pesakit yang mempunyai latar belakang penyakit kencing manis, darah tinggi dan penyakit barah buah pinggang.

"Beliau dirawat di Hospital Enche' Besar Hajah Khalsom, Johor pada 29 Mei sebelum disahkan meninggal dunia pada pukul 10.20 malam, Khamis lalu, " katanya.

Beliau berkata, dengan kematian terbaharu ini, ia menjadikan jumlah kumulatif kes kematian di Johor sebanyak 20 orang.

Disiarkan pada: June 6, 2020 @ 2:46pm
d