mutakhir

Mohd Nizar antara nama calon PRK DUN Chini

Oleh Asrol Awang

ANAK kepada bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak iaitu Datuk Mohd Nizar Najib yang juga Ketua Pemuda UMNO Pekan dikatakan antara calon Barisan Nasional (BN) bertanding pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Chini.

Menurut sumber, seorang peneroka FELDA Chini yang juga ahli UMNO Pekan turut disebut-sebut untuk diletakkan sebagai calon.

"Namun, setakat ini tiada kata putus nama calon memandangkan ia masih dalam perbincangan.

"Difahamkan nama calon hanya akan diumumkan dalam tempoh terdekat selepas mendapat persetujuan daripada kepimpinan tertinggi BN khususnya UMNO.

"Bukan satu nama, malah beberapa nama turut disenaraikan untuk dipertimbangkan" kata sumber itu.

PRK DUN Chini diadakan susulan kematian Datuk Seri Abu Bakar Harun, 60, di Hospital Kuala Lumpur (HKL) akibat serangan jantung selepas terjatuh dan mengalami sesak nafas di Bangsar, 7 Mei lalu.

Ketika Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) pada 2018, Allahyarham selaku wakil BN mempertahankan kerusi disandangnya dalam saingan tiga penjuru dengan majoriti 7,675 undi.

Bagaimanapun, Pakatan Harapan (PH) hari ini memutuskan supaya PKR tidak meletakkan calon pada PRK Dewan Undangan Negeri (DUN) Chini, di Pahang, yang akan diadakan pada 4 Julai depan.

Setiausaha Agung PKR, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, keputusan itu dibuat berikutan kerisauan terhadap aspek keselamatan pengundi berikutan penularan wabak Covid-19.

Beliau berkata, PKR berpandangan prosedur operasi standard (SOP) yang akan diumumkan berkaitan perjalanan PRK itu, akan memberi kesan pada cara berkempen dan gerak kerja penting dalam pilihan raya.

Berdasarkan keputusan PRU-14, BN yang menjalin kerjasama erat dengan PAS dalam Perikatan Nasional (PN) dan Muafakat Nasional (MN) mendapat sokongan pengundi.

PAS tidak meletakkan calon kerana memberi sokongan kepada calon BN daripada UMNO.

Disiarkan pada: June 6, 2020 @ 2:51pm
d