mutakhir

Tidak malu cuci pinggan cari wang saku [METORTV]

Oleh Syaherah Mustafa

KETIKA kebanyakan remaja lain yang seusianya menghabiskan masa dengan bersosial dan bermain gajet, namun Iza Lydiatul Husna Mohd Rosli, 17, menggunakan peluang untuk mencari wan saku dengan mengambil upah mencuci pinggan dan menjadi pembantu di kedai makan.

Setiap hujung minggu dan cuti sekolah, Iza Lydiatul Husna menghabiskan masanya di kedai milik ibu saudara, membantu dan mendapat upah yang dikumpulnya untuk digunakan membeli keperluan sekolah dan membantu keluarga.

Dia yang juga anak ketiga daripada lapan adik beradik, dibesarkan dalam keluarga yang serba kekurangan namun ia tidak mematahkan semangatnya malah menjadi pendorong untuk terus berusaha mencari peluang walaupun di usia masih muda.

"Saya mula menjadi pencuci pinggan di kedai sejak berusia 15 tahun lagi untuk mencari wang saku bagi perbelanjaan sekolah. Bagaimanapun, ia hanya dilakukan ketika masa terluang iaitu pada hujung minggu dan hari cuti yang tidak membabitkan sesi persekolahan atau kelas tambahan.

"Ibu saya, Nor Azmahera Abdullah, 38, dan bapa, Mohd Rosli Che Seman, 50, pada awalnya menasihati saya untuk tidak menyusahkan diri 'bekerja' namun saya menerangkan kepada mereka bahawa apa yang saya lakukan sekadar membantu, tambahan pula, saya gembira mendapat upah dan mencari wang sendiri.

"Ada sahaja masa terluang, saya pasti meminta abah bawa ke kedai kerana sudah biasa dan gembira melakukan pekerjaan itu. Biasanya saya membonceng motosikal bersama abah untuk ke kedai yang jauhnya 15 kilometer dari rumah kami di Kampung Chenerai, Alor Pasir," katanya ketika ditemui di kedai makan milik ibu saudaranya, di Bandar Pasir Mas, Kelantan.

Iza Lydiatul Husna berkata, dia menerima upah sebanyak RM30 sehari namun boleh mendapat lebih lagi bergantung kepada jumlah pelanggan.

"Saya tidak malu melakukan kerja di sini, malah gembira kerana boleh mencari wang saku sendiri. Ada masanya saya boleh berkongsi rezeki ini dengan adik beradik yang lain termasuk ibu dan abah terutama ketika abah tidak dapat keluar bekerja sebagai buruh.

"Sebelum ini, ada sahaja rakan-rakan yang ajak keluar seperti ke bandar atau pusat membeli belah sekadar suka-suka, namun biasanya saya menolak dengan baik, kerana lebih selesa di kedai membantu ibu saudara.

"Walaupun saya bekerja, namun pelajaran tetap diutamakan malah jika ada kelas tambahan pada hujung minggu, saya tidak ke kedai sebaliknya hadir ke sekolah menimba ilmu memandangkan saya bakal menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM)," katanya yang bercita-cita menjadi doktor suatu hari nanti.

Tambahnya, dia dilahirkan dalam keluarga yang serba kekurangan, bapa pula mengalami masalah penglihatan yang turut mengganggu untuk keluar bekerja manakala, ibunya hanya suri rumah sahaja.

Mereka sekeluarga tidak mendapat sebarang bantuan menyebabkan dia perlu berusaha lebih jika mahu membeli peralatan sekolah kerana tidak mahu menyusahkan kedua-dua orang tuanya.

Disiarkan pada: June 6, 2020 @ 3:01pm
d