mutakhir

120,000 terima sumbangan MAGGI Ramadan lalu

Oleh Suraya Roslan

BERBEKALKAN semangat Ramadan, MAGGI menyediakan makanan untuk lebih 120,000 rakyat Malaysia sepanjang bulan puasa.

Inisiatif itu sebahagian daripada sumbangan RM15 juta Nestlé Malaysia dalam usaha membantu memerangi wabak Covid-19 di bawah inisiatif Nestlé Cares selaras dengan komitmen syarikat itu untuk menyokong rakyat Malaysia ketika waktu mencabar ini.

Pegawai Eksekutif Perniagaan, MAGGI Nestlé (Malaysia) Berhad, Geetha Balakrishna berkata, menjadi satu tradisi yang diamalkan MAGGI sejak bertahun-tahun lamanya untuk mengagihkan makanan tradisional MAGGI bubur lambuk kepada orang ramai untuk berbuka puasa sempena Ramadan yang penuh keberkatan.

"Tahun ini, lebih 120,000 mangkuk MAGGI bubur lambuk diagihkan bersama 20,000 pek makanan dan minuman Nestlé kepada keluarga B40 dan pelajar, masyarakat kurang bernasib baik meliputi rumah kebajikan dan anak yatim, petugas penjagaan kesihatan serta petugas barisan hadapan yang lain termasuk Polis Diraja Malaysia dan Angkatan Tentera Malaysia yang memainkan peranan penting dalam perjuangan menentang pandemik.

"Kami bertuah kerana dapat meneruskan usaha untuk mengagihkan makanan berkhasiat kepada rakyat Malaysia. Walaupun ini adalah inisiatif tahunan MAGGI yang diadakan sepanjang bulan puasa, tetapi tahun ini dilihat lebih penting bagi kami untuk menyumbang kepada mereka yang memerlukan dan juga menunjukkan penghargaan kami kepada petugas barisan hadapan yang bekerja keras pada masa sukar sekarang," katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Nestlé (Malaysia) Berhad Juan Aranols berkata, ia sebahagian daripada komitmen mereka untuk menyokong masyarakat yang memerlukan sebagai sebahagian daripada program bantuan Nestlé Cares Covid-19.

"Ramadan adalah bulan untuk menunjukkan belas kasihan dan bersedekah dan kami berharap usaha MAGGI ini akan memberi perbezaan positif bagi banyak pihak, begitu juga inisiatif lain dalam persiapan di bawah jenama kami yang berbeza," katanya.

Disiarkan pada: June 6, 2020 @ 3:08pm
d