mutakhir

Perluasan kapasiti solat jemaah, Jumaat tunggu perkenan YDP Agong [METROTV]

Oleh Hayati Ibrahim dan Yusmizal Dolah Aling

PERLUASAN kapasiti jemaah solat jemaah dan solat Jumaat berdasarkan keluasan masjid dibincangkan di dalam mesyuarat jemaah menteri hari ini.

Bagaimanapun, kelulusan mengenainya tertakluk kepada perkenan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Al Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al Mustaffa Billah Shah.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, perkara itu sudah dibentangkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al Bakri dalam mesyuarat hari ini.

"Kita bersetuju pada dasarnya iaitu berdasarkan keluasan masjid, asalkan ada penjarakan sosial di dalam masjid maka tidak ada halangan untuk memberi kebenaran kepada orang ramai untuk solat berjemaah.

"Kalau masjid itu besar, sebagai contoh Masjid Putrajaya. Kalau satu meter penjarakan mungkin boleh sampai 200 atau 300 orang sebagai contoh. Maka itulah jemaahnya.

"Kita sebut pada dasarnya kerana setiap perkara berkaitan agama mesti mendapat kelulusan daripada raja-raja di peringkat negeri dan juga Yang di-Pertuan Agong jika dan SOP tadi ialah untuk Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan yang kita bincang tadi," katanya.

Menurutnya, kerajaan tidak boleh meluluskannya sebelum Yang di-Pertuan Agong dan ia akan diumumkan selepas mendapat perkenan.

"Jadi kita tunggu, selepas diluluskan nanti SOP itu akan dibentangkan atau diumumkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri," katanya.

Disiarkan pada: June 6, 2020 @ 3:33pm
d