mutakhir

Yuran sekolah persendirian, terserah ibu bapa [METROTV]

Oleh Hayati Ibrahim dan Yusmizal Dolah Aling

TERSERAH kepada ibu bapa untuk membayar yuran pengajian berdasarkan persetujuan bersama dengan pihak sekolah persendirian.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, dari segi dasar, perkara itu akan diputuskan Kementerian Pendidikan, namun secara etikanya, sekolah tidak boleh menuntut apa-apa bayaran untuk kerana tiada perkhidmatan yang diberikan.

"Dari segi dasar saya tidak tahu. Mungkin sekolah itu ada buat pembelajaran secara online, itu terserah kepada ibu bapa sama ada untuk membayar atau tidak," katanya.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata satu perbincangan akan diadakan Selasa ini membabitkan pelbagai sektor ekonomi termasuk prosedur operasi standard (SOP) yang akan ditetapkan.

"Selasa nanti kita akan bincang mengenai lebih banyak sektor yang kita akan berikan kebenaran. Seperti saya katakan bahawa kita secara berperingkat memberikan kelonggaran ini. Salah satunya adalah aktiviti pancing di kolam, begitu juga permohonan bot pelancong yang membawa pelancong memancing di laut.

"Kita akan bincang dengan lebih terperinci dengan SOP nya supaya kita boleh pastikan bahawa akhirnya semua sektor ekonomi akan dibuka dengan SOP ditetapkan.

"Walaupun mungkin ada lagi yang tidak dibuka, tapi hampir keseluruhannya akan dibuka. Kita akan bincang Selasa nanti," katanya.

Disiarkan pada: June 6, 2020 @ 3:43pm
d